Isu salah laku ‘panaskan’ musim tengkujuh

No Image Caption
A
A
A

MUSIM tengkujuh yang melanda negeri ini bermula bulan November biasanya hadir dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan luar biasa lebat sehingga menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami banjir.

Situasi itu dilihat sudah ‘masak’ dengan masyarakat di negeri ini terutama yang tinggal di kawasan pesisiran pantai dan rendah berhampiran lembangan sungai utama seperti Galas, Lebir, Kelantan serta Golok untuk membuat persiapan awal sejurus menerima signal daripada alam berpandukan kepada pedoman sebelum-sebelum ini.

Namun, musim tengkujuh yang melanda Serambi Makkah tahun ini membawa bahang ‘panas’ sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat termasuklah Jabatan Netizen yang berpangkalan di alam maya.

Isu panas yang melibatkan salah laku anggota pasukan keselamatan, pengetua sekolah agama, Youtuber dan pengamal perubahan Islam itu dilihat telah ‘memanaskan’ seluruh pelosok bumi Kelantan yang mengalami cuaca sejuk dek tiupan angin Monsun Timur Laut.

Bukan itu sahaja, isu panas tersebut turut menenggelamkan seketika kes Covid-19 serta kewujudan kluster baharu pandemik tersebut iaitu Huma di Pasir Puteh, Kelantan.

Pasukan keselamatan umpama hero di mata orang ramai, pengetua disifatkan sebagai pendidik anak bangsa sementara pengamal perubatan Islam umpama ‘doktor’ yang merawat pesakit mistik melibatkan gangguan makhluk halus.

Namun, salah laku berkait dengan jenayah seksual yang dilakukan oleh golongan berkenaan berkait cabul dan rogol dianggap melampaui batas normal kehidupan sebagai seorang Muslim.

Salah laku itu menyebabkan tahap keyakinan orang ramai terhadap golongan berkenaan mulai terhakis disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang boleh diumpamakan seperti ‘seekor kerbau membawa lumpur, semua akan terpalit’.

Artikel Berkaitan:

SiasatPengerusi Gerakan Wanita Cakna Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan apa yang berlaku itu seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.

“Bayangkan orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan berbuat sesuatu di luar batasan sebagai seorang Muslim.

“Kita menuntut satu siasatan segera dilakukan ke atas semua kes-kes ini agar hukuman setimpal dapat dikenakan kepada mereka yang terlibat sebagai pengajaran untuk orang lain juga,” tegasnya.

Dr Hafidzah berkata, jenayah seksual yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam itu perlu segera dihentikan.

Beliau mendesak kerajaan agar segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen dalam usaha membendung masalah itu.

Bukan itu sahaja, semua pihak harus memainkan peranan dalam membendung perkara ini termasuklah membuat laporan jika mengetahui ada yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Sungguhpun begitu, masyarakat tidak boleh menjadi hakim segera dengan mengenakan hukuman secara menyeluruh terhadap golongan berkenaan disebabkan oleh sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Sebaliknya, kita perlu melihat perkara itu dari sudut pandang yang berbeza dan menyeluruh termasuk pelaku dan mangsa supaya dapat mencari konklusi terbaik bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.

Jika ada yang menjadi mangsa, mereka perlu berani untuk tampil membuat aduan agar pelaku itu dapat dikenakan hukuman setimpal. Harus diingat maruah itu tidak terhitung nilainya.

Justeru, dalam hal ini seluruh masyarakat perlu memberikan sokongan dan ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan seterusnya menjalankan pendakwaan di mahkamah jika terbukti bersalah.Besar harapan penulis agar hukuman yang dikenakan itu setimpal dan menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Penulis cukup yakin dan percaya jabatan yang terlibat tidak akan berdiam diri dengan perkara yang boleh mencemarkan imej mereka, serta mengganggu gugat keharmonian hidup bermasyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!