Dasar RISDA perlu dikaji semula

Abd Latiff (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada Md Nor pada Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Tanjung Tuan, Mersing pada Ahad.
Abd Latiff (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada Md Nor pada Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Tanjung Tuan, Mersing pada Ahad.
A
A
A

MERSING - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dikaji bagi membolehkan peranannya diperluaskan sejajar perubahan ekonomi dan teknologi.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kajian dasar ini perlu dilakukan bagi memastikan peranan RISDA yang ditubuhkan pada 1972 itu terus kompetitif dari segi peranan dan fungsinya membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, jumlah pekebun yang menanam getah semakin mengecil menyaksikan cadangan baharu diperlukan bagi RISDA terus menyumbang kepakaran dalam pengurusan termasuk industri sampingan kepada masyarakat luar bandar.

“Lembaga RISDA perlu bekerjasama dengan KPLB melihat cadangan ini. Kemudian dibawa ke peringkat kementerian, Kabinet dan jika ada perubahan akta perlu dirujuk ke Parlimen.

“RISDA tidak boleh berterusan seperti ini, memandangkan penstrukturan semula dasar yang dikemaskini akan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk yang berada di luar bandar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Mersing.

Beliau berkata pada sidang media Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Tanjung Tuan, Mersing di sini pada Ahad.

Ramilah
Ramilah

Hadir sama,Timbalan Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 60 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf serta dua buah madrasah tahfiz serta sebuah masjid di Mersing menerima zakat dengan keseluruhan sebanyak RM66,400 menerusi Yayasan RISDA.

Turut disampaikan bantuan ekonomi tambahan (AET) dan bantuan pembangunan usahawan bertujuan bagi memperbaiki taraf sosioekonomi pekebun kecil.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Tanjung Tuan, Md Nor Yusof berterima kasih kepada RISDA atas penyaluran bantuan zakat tersebut kepada 51 keluarga masyarakat orang asli.

“Bantuan ini sangat dinantikan penduduk yang kebanyakannya merupakan pekebun kecil mengusahakan getah dan kelapa sawit.

“Pendapatan mereka terjejas berikutan Covid-19. Ada di antara mereka turut mengusahakan tanaman sampingan di sekeliling rumah dengan menanam sayur,” katanya.

Penduduk, Ramilah Md Nor, 42, pula berkata, sumbangan itu akan digunakan bagi memberi barang harian dan keperluan persekolahan tiga anaknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!