Sembilan ditahan berjudi laga ayam
MARANG - Sembilan lelaki ditahan polis ketika sedang asyik berjudi laga ayam di Kampung Pak Madah, di sini, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, serbuan itu dilakukan kira-kira jam 7.30 petang oleh polis bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 53 tahun dan hasil siasatan awal, mereka mengaku terlibat dengan perjudian laga ayam.
“Kita turut merampas lapan ekor ayam jantan, tujuh sangkar ayam, lapan unit sarung taji, segulung getah dan wang tunai RM100,” katanya.
Katanya, ujian saringan awal urin terhadap semua suspek mendapati kesemuanya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana melakukan aktiviti perjudian laga ayam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!