Kim Swee gugurkan lapan pemain
KETUA Jurulatih Skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 26 pemain termasuk 11 muka baharu menjalani latihan pusat di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula 10 Februari ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan latihan pusat berkenaan adalah sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-22 Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Phnom Penh, Kemboja dari 17 hingga 26 Februari ini.
Daripada 26 pemain tersebut, Kim Swee mengekalkan 15 pemain yang menyertai Jelajah Thailand, bulan lepas dan menyenaraikan 11 muka baharu selepas mengambil keputusan menggugurkan lapan pemain daripada senarai 23 pemain ke Thailand.
11 muka baharu berkenaan adalah penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli dan Dominic Tan Jun Jin dari pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), R. Dinesh dan Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang), Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC), Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United).
Pemain-pemain lain adalah Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur), Ariusdius Jais (Sabah), Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama) dan Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC).
FAM memaklumkan Muhammad Haziq, Dominic, Faisal, Syahmi dan Hadi merupakan anggota skuad B-23 kebangsaan pada Sukan Asia 2018 di Indonesia manakala Ariff, Ariusdius dan Izzan dipanggil pada kem latihan pusat bulan lalu tetapi tidak dibawa pada Jelajah Thailand kerana kecederaan.
Kenyataan tersebut menjelaskan skuad B-22 negara akan menjalani latihan lima hari bermula 11 Februari ini di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum Kim Swee menyenaraikan barisan 23 pemain terakhir yang akan terbang ke Kemboja pada 15 Februari ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari diikuti Indonesia (20 Februari), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar, selang dua hari kemudian.
Juara bertahan, Thailand mengetuai cabaran kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste and Filipina. Tiga pasukan iaitu Singapura, Brunei dan Laos mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berkenaan yang kali terakhir diadakan pada 2005, namun tidak menyatakan punca mereka berbuat demikian.
Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dari kumpulan A dan B, layak ke separuh akhir pada 24 Feb, manakala aksi final dijadual pada 26 Februari dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.
Barisan 26 pelatih:
Muhammad Zahril Azri Zabri, Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias (Kelantan); Damien Lim Chien Khai, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC); R. Kogileswaran, Mohd Faisal Abdul Halim, R. Dinesh (Pahang).
Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah); Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin (JDT); Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II); Muhammad Syahmi Safari (Selangor); Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC); Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah).
Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak); Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur); Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC); Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!