Jogho nombor tiga dunia kategori Asia/Afrika
BACHOK - Lembu sado dari baka Limousine milik Zulkifli Yaakob, 51, mencipta sejarah baharu dalam dunia penternakan di negara ini apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan Limousine-Champion of The World Category Asia/Africa baru-baru ini.
Lembu sado yang diberi nama Jogho dari Kampung Keluat, Bachok itu bagaimanapun tumpas di tangan wakil Afrika Selatan iaitu Rhone Viceroy dan Flemington Quiet Secret Q8 (Australia).
Zulkifli berkata, beliau masih lagi terkejut dengan keputusan tersebut dan tidak menyangka Jogho mampu meraih tempat ketiga pada pertandingan itu.
"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada Jogho kerana percaya saingan sengit bakal diberikan oleh peserta dari luar negara.
"Bagaimanapun saya hilang kata-kata apabila Jogho diumumkan tempat ketiga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan Jogho itu merupakan pengiktirafan tertinggi kepada penternak lembu sado di negara ini khususnya di Bachok.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Pura itu juga berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu penyertaan Jogho dalam pertandingan tersebut terutama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
Anak kelahiran Bachok itu berkata, sejak berita kemenangan Jogho tersebar beliau tidak putus-putus menerima kunjungan daripada peminat lembu sado untuk melihat Jogho lebih dekat selain mengetahui selok-belok berkaitan haiwan berkenaan.
"Saya tidak loket berkongsi ilmu mengenai penjagaan lembu sado kepada peminat haiwan berkenaan supaya industri ini terus berkembang kerana mempunyai potensi besar pada masa hadapan," katanya.
Sinar Harian 8 November lalu melaporkan, sosok tubuh yang berotot membawa tuah kepada Jogho apabila terpilih sebagai wakil Asia ke pertandingan lembu sado peringkat dunia yang dikenali sebagai Limousine-Champion of the World.
Jogho yang seberat 1.6 tan dan bernilai RM25,000 itu turut mengharumkan nama Malaysia apabila bakal berentap dengan lembu-lembu baka Limousine dari seluruh dunia seperti Perancis, New Zealand, Afrika dan banyak lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!