Hasil siasatan punca kematian Adib diketahui tidak lama lagi
KUALA LUMPUR - Hasil siasatan terhadap penyebab kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan dimaklumkan tidak lama lagi, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
“Kedudukan sama ada (wujud) penyebab-penyebab sehingga berlaku kematian Adib, tidak lama lagi akan kita maklumkan kepada semua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di sini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Bukit Jelutong) yang bertanyakan tempoh selesai siasatan kematian Muhammad Adib.
Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Muhammad Adib berikutan terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!