Ketua AMK jumpa Anwar perjelas isu menghina
SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir bertemu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini bagi menjelaskan isu dakwaan beliau menghina ketua pembangkang itu seperti yang tular melalui perbualan WhatsApp pemimpin AMK di media sosial.
Akmal Nasrullah berkata, pada pertemuan tersebut, Anwar berpesan kepada seluruh anggota parti supaya bergerak ke hadapan dan fokus dalam melaksanakan amanah reformasi.
"Alhamdulillah, saya telah bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
"Saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kekhilafan yang berlaku dan beliau berharap isu ini tidak dipanjangkan lagi.
"Kita Keadilan satu keluarga. Perbezaan sesama kita perlu diraikan selagi perbezaan itu bernaung di bawah prinsip dan idealisme reformasi," katanya dalam ciapan Twitter hari ini.
Sabtu lalu, beberapa pemimpin AMK mendesak supaya Akmal Nasrullah dikenakan tindakan kerana didakwa menghina Presiden PKR.
Desakan itu dibuat AMK cabang Port Dickson, Shah Alam, Marang dan Gombak dalam satu kenyataan bersama, susulan tersebarnya perbualan Akmal Nasrullah dengan beberapa pemimpin lain dalam kumpulan WhatsApp yang didakwa menghina Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!