Kepimpinan Jocelyn terserlah sejak di bangku sekolah di Alor Setar

Chim Tiong ditemui di Alor Setar hari ini menunjukkan gambar Jocelyn sekeluarga selepas dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California pada Khamis lalu.
Chim Tiong ditemui di Alor Setar hari ini menunjukkan gambar Jocelyn sekeluarga selepas dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California pada Khamis lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Walaupun masih muda, namun Datuk Bandar Eastvale di California, Jocelyn Yow layak memegang jawatan tersebut kerana pemikirannya yang matang dan berwawasan jauh.

Perwatakan wanita berusia 25 tahun itu sebagai seorang pemimpin telah menyerlah sejak di bangku sekolah apabila sentiasa menyertai pertandingan debat mewakili Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di Alor Setar di sini.

Datuk saudaranya, Datuk Chong Chim Tiong, 71, berkata, Jocelyn juga suka membaca pada zaman persekolahan dan memperoleh banyak ilmu pengetahuan hasil hobinya itu.

"Jocelyn bersekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa sebelum sambung belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa.

"Dia juga seorang yang suka bergaul dengan masyarakat sekelilingnya tanpa mengira latar belakang dan umur. Hal ini menyebabkan dia cepat matang walaupun usianya masih muda," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Putra di sini hari ini.

Ching Tiong yang juga seorang usahawan berkata, nenek Jocelyn iaitu Chong Guat Chu, 75, yang merupakan kakak kepadanya kini menetap bersama anak dan cucunya di California.

Menurutnya, Jocelyn juga seorang yang menghormati dan peramah terhadap ahli keluarga yang lebih berusia daripadanya.

"Dia panggil saya 'Gugong' (datuk saudara) dalam bahasa Cina. Kali terakhir keluarga mereka pulang ke Alor Setar pada tahun 2017. Kami akan buat makan-makan baik di rumah ataupun di luar dan semua ahli keluarga akan hadir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun berkata, disebabkan pandemik Covid-19 pada tahun ini, Jocelyn sekeluarga tidak dapat pulang ke Malaysia dan mereka hanya mampu berinteraksi melalui telefon dan juga WhatsApp.

"Jocelyn turut menghantar gambar mereka sekeluarga selepas dia dilantik menjadi Datuk Bandar Eastvale. Dia telah membanggakan orang Alor Setar, orang Kedah dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Hari ini media melaporkan seorang wanita Malaysia dari Kedah melakar sejarah apabila menjadi wanita termuda dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat (AS).

Jocelyn diumumkan sebagai Datuk Bandar pada mesyuarat dewan bandar Khamis lalu.

Pada tahun 2018, wanita kepada seorang cahaya mata itu berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale dan kemudian menyandang jawatan Datuk Bandar sementara sejak tahun lalu.

Difahamkan, bapanya merupakan warganegara Malaysia dan ibunya seorang warganegara Vietnam berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1990-an.

Malah, Jocelyn akui berbangga menjadi orang Malaysia-Vietnam-Cina-Amerika.

Bapanya telah ke AS pada 1980-an untuk melanjutkan pengajian sebelum mereka berpindah ke Alor Setar pada tahun 1996 apabila datuknya menghidap kanser dan mereka tinggal di negara ini lebih 10 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!