Dasar kerajaan pulih taraf kredit negara dibangkitkan hari ini
KUALA LUMPUR - Dasar kerajaan dalam usaha memulihkan taraf kredit negara susulan keputusan Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit negara, antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang bakal diajukan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Kewangan.
Seterusnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) pula meminta penjelasan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkenaan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini, berkait penyalahgunaan dana kerajaan oleh MIMOS Berhad.
Dalam sesi itu juga, Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai inisiatif atau skim di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk membantu peniaga dan usahawan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kee Chin turut bertanyakan sama ada SSM menyediakan sebarang bantuan bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan.
Bagi sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan langkah kerajaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing melabur di Malaysia dan bertanyakan mengenai jumlah pelaburan yang diterima sektor pembuatan negara pada 2018 dan 2019.
Persidangan hari ini dijangka akan diakhiri dengan sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa dengan dua lagi kementerian bakal menggulung perbahasan.
Kementerian berkenaan ialah Kementerian Pendidikan disusuli Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat ini bakal menyaksikan pengundian kali kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2021, bacaan kali ketiga sebelum diluluskan dan dibawa ke Dewan Negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!