Belanjawan KPM tidak tepati keperluan masa depan pelajar: Tun M
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Pendidikan (KPM) kerana tidak menepati keperluan anak muda untuk masa hadapan.
Beliau merujuk kepada peruntukan untuk Pendidikan Teknik dan Vokasional berjumlah RM215,500 dan peruntukan Program Pembangunan Kurikulum berjumlah RM15.9 juta.
Dr Mahathir sebaliknya menyentuh beberapa perkara iaitu pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, sistem pembelajaran berasaskan teknologi terkini dan pendidikan ilmu kifayah yang tidak dilihat dalam cadangan belanjawan bagi kementerian itu.
"Sesungguhnya dasar dan cara pendidikan perlu dikaji dan dipinda supaya lebih sesuai dengan keperluan anak muda di masa hadapan. Demikian juga dengan cara menyampai ilmu kepada penuntut di semua peringkat.
"Saya dapati tidak ada apa-apa cadangan dalam belanjawan untuk pendidikan ke arah ini. Sebab itu, saya tidak dapat sokong peruntukan bagi Kementerian Pendidikan bagi tahun 2021," katanya ketika Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa KPM diluluskan
Ketika menyentuh mengenai pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, beliau berkata, dengan penguasaan bahasa Inggeris bagi ilmu tersebut akan memberi manfaat jangka panjang kepada penuntut.
"Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik amatlah penting. Ilmu-ilmu ini tidak statik tetapi berubah-ubah sepanjang masa hasil kajian yang dibuat oleh para penyelidik. Hampir semua dari kajian ini disediakan dalam bahasa Inggeris. Menterjemah ke dalam Bahasa Kebangsaan memerlukan pakar sains yang terpelajar dalam ilmu sains serta fasih dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
"Sebaliknya jika ilmu Sains dan Matematik ini diajar dalam bahasa Inggeris penuntut boleh akses semua ilmu baru yang relevan sendiri, tanpa pakar penterjemah. Apabila kita sudah kuasai ilmu ini dengan mendalam dan kita juga membuat penyelidikan, pada masa itu kita boleh guna bahasa kita. Demikian juga dengan matematik yang penting untuk menghantar roket ke Space Station dan bulan," katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sistem mengajar juga perlu ditukar kerana perkembangan teknologi berkomunikasi yang mampu memperkenalkan ilmu dengan lebih mudah.
"Sepatutnya semua pengajaran disediakan oleh guru pakar dalam disc atau thumbdrive, telefon atau komputer yang lengkap dengan semua maklumat dan ilustrasi yang mudah difahami.
"Saya harap pihak Kerajaan akan kaji dan perkenal cara mengajar zaman teknologi ini. Melalui internet, kita boleh dapat pelajaran dari guru pakar. Guru darjah akan memimpin pelajar mengikuti pelajaran yang sudah disediakan oleh guru pakar," katanya.
Katanya, ajaran fardu kifayah juga tidak terkecuali kerana ia juga penting agar setiap umat Islam mengetahui nilai hidup yang perlu diamalkan oleh orang Islam mengikut al-Quran dan hadis yang sahih.
"Ilmu yang diperoleh oleh orang yang tidak amal nilai hidup Islam akan disalah guna dan akan menghasilkan keburukan kepada diri sendiri, Islam dan masyarakat Islam. Inilah yang kita lihat apabila orang Islam membunuh orang termasuk orang Islam – sesuatu yang dilarang oleh agama Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!