'Ustaz' mengaku tidak salah cabul pesakit

Tertuduh berdepan dengan tiga pertuduhan mencabul pesakitnya ketika mendapatkan rawatan.
Tertuduh berdepan dengan tiga pertuduhan mencabul pesakitnya ketika mendapatkan rawatan.
A
A
A

MARANG - Seorang pengamal perubatan alternatif digelar 'ustaz' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas tiga pertuduhan mencabul ketika melakukan rawatan.

Tertuduh, Rulam Akbal Abd Manan, 52, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita yang berusia 31 tahun untuk tujuan mencabul kehormatannya, pada 22 November lalu kira-kira jam 8.30 malam di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Reman 'ustaz' cabul pesakit disambung dua hari

'Ustaz' ditahan disyaki cabul pesakit

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan yang sama terhadap wanita itu di sebuah kediaman di Tepoh, Kuala Nerus pada 24 November lalu, kira-kira jam 2.30 petang.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita lain berusia 25 tahun pada 9 September 2018, kira-kira jam 2 petang.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, bagi setiap pertuduhan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Engku Nurul Ain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Februari depan untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!