Kawal nafsu dengan bimbingan al-Quran
SHAH ALAM - Kaedah terbaik dalam mengawal nafsu di dalam jiwa seseorang adalah dengan menjadikan al-Quran sebagai pembimbing.
Pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah berkata, sekiranya seseorang itu berpaling atau tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam mengawal nafsu, maka nafsu itu akan menjadi musuh yang paling berpengaruh dalam jiwanya.
"Nafsu akan teratur dan terasuh sekiranya ia dibimbing dengan al-Quran. Kalau tidak, nafsu ini akan menjadi musuh yang paling besar dan paling berpengaruh dalam jiwa kerana bisikannya dengan mudah meresap ke dalam hati.
"Kita melihat golongan yang mudah terperangkap dengan nafsu ini adalah mereka yang kurang mempraktikkan ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran, sedangkan al-Quranlah petunjuk hidup.
"Benar, manusia tidak mampu hidup tanpa nafsu tetapi jika nafsu bermaharajalela dalam diri, manusia akan jadi lebih daripada binatang," katanya selaku panelis pada program Wacana al-Quran bertajuk 'Pendakwah dan Perangkap Nafsu' surah Ali Imran ayat 14 dan 15 yang bersiaran secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Turut menjadi panelis ialah pendakwah yang juga bekas Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Ustaz Roslan Mohamed.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan surah Ali Imran ayat 14 dan 15.
Sementara itu, Robiah berkata, nafsu merupakan anugerah ALLAH SWT kepada hamba-Nya dan kerana itu manusia tidak boleh melihat nafsu dari sudut keburukan semata-mata.
"Nafsu boleh jadi baik dan tidak baik bergantung kepada bimbingan. Ramai dalam kalangan kita yang tidak mampu menggabungkan kehendak diri, agama dan masyarakat.
"Kadang-kadang ketiga-tiga kehendak inilah yang membuatkan kita terperangkap dengan nafsu," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, nafsu itu penting dalam kehidupan seorang manusia tetapi tidak ia harus menjadi tunggangan dalam mengemudi kehidupan.
"Bukan nafsu yang menunggang kita sebaliknya kita yang menjadi penunggangnya.
"Kalau ini dapat diangkat secara baik, insya-ALLAH semua akan selamat. Tidak kiralah dia pendakwah atau orang biasa kerana yang berjumpa dengan ALLAH SWT adalah semua hamba-Nya," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!