Suri rumah dijel curi kopi, makanan
MELAKA - Akibat mencuri dua kotak kopi jenama Starbucks dan beberapa makanan lain di sebuah pasar raya, seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohamad Izwan Mohamad Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zalifah Salleh, 38, dari Kandang di sini selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri tanpa membuat sebarang pembayaran yang kesemua bernilai RM161.10 kepunyaan juruwang, Siti Rahmah Muhamad Salih, 30, pada jam 2 petang di pusat beli-belah Aeon Bandaraya Melaka, Jalan Panglima Awang di sini pada 30 September lalu.
Pegawai Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, beberapa barang makanan yang diambil tertuduh; antaranya dua kotak kopi jenama Starbucks, satu botol Nutella 680 gram, dua bungkusan sushi, empat kotak susu UHT Dutch Lady, satu botol Ribena Mobile dan dua tin biskut coklat Amore.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Mohamad Izwan dalam hujahnya berkata, perlakuan jenayah tetap perlu diberikan pengajaran setimpal.
"Pada waktu sekarang ini pandemik Covid-19 saya faham, ramai yang terdesak tetapi puan boleh mendapatkan bantuan daripada saluran yang betul dan bukannya mencuri. Matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!