Rosemaria dakwa tidak terima bayaran royalti
KOTA BHARU - Penyanyi popular era 80-an, Rosemaria Abdul Hamid mendakwa tidak menerima bayaran royalti sejak beberapa tahun apabila syarikat rakaman yang dinaunginya, kumpulan EMI Music diambil alih oleh Universal Records.
Penyanyi yang popular dengan lagu Nasi Dagang itu berkata, sebelum ini dia menerima bayaran dengan baik, namun kini bagaikan hilang arah apabila berlaku pertukaran melibatkan syarikat rakaman tersebut.
EMI Music diambil alih oleh Universal Music pada tahun 2013.
"Jika dulu saya mampu memperoleh bayaran royalti sehingga ribuan ringgit dalam tempoh setahun, kini tidak lagi dibayar. Saya tidak tahu kepada siapa hendak mengadu," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau ditemui di rumahnya di sini selepas menerima kunjungan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui Program Finas Prihatin 2.0 yang diketuai Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid.
Sementara itu, Rosemaria berkata, dia berpendapat kerajaan mahupun agensi berkaitan perlu mengambil berat mengenai isu royalti artis tempatan bagi memastikan ia dikawal selia dengan baik tanpa sebarang masalah.
Malah, penyanyi berusia 64 tahun itu juga berkata, dia mendengar keluhan rakan-rakan artis yang sememangnya layak menerima hak setiap kali lagunya dimainkan, berhubung isu royalti itu.
“Saya berharap masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan hak kami terbela. Mungkin ada pihak boleh bantu kami untuk bawa isu ini ke depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!