Liverpool lambat 'panas'
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan permulaan perlahan yang dipamerkan para pemainnya menjadi faktor utama The Reds hanya mampu seri 1-1 dengan Fulham dalam aksi di Craven Cottage awal pagi Isnin.
Menurutnya, Liverpool tidak beraksi pada tahap yang sepatutnya dalam 30 minit pertama sebelum kembali menemui rentak terutama selepas babak kedua bersambung.
"Kami tidak bermain baik ketika perlawanan bermula. Sekiranya mereka harus bangkit, saya tidak tahu, tetapi saya tidak dapat menulis buku dan membuangnya di atas padang dan menyuruh mereka membacanya.
"Apa yang saya mahukan adalah mereka bangkit dan memulakannya semula. Permulaan yang baik itu bagus, tetapi jika anda tidak mempunyai permulaan yang baik maka anda boleh memulakannya semula. Kami memerlukan 30 minit untuk kembali mendapat rentak. Jadi itulah sebabnya saya sedikit marah kepada mereka.
"Selepas 30 minit persembahan pemain lebih baik. Namun, Fulham masih berada dalam momentum mereka dengan bantuan daripada penyokong," katanya.
Dalam perlawanan itu, Bobby Decordova-Reid membuka tirai jaringan buat Fulham pada minit ke-25 dan The Reds perlu menunggu sehingga minit ke-79 untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan penalti Mohamed Salah.
Dalam masa sama, Klopp juga percaya masalah kecergasan turut memainkan peranan ekoran jadual padat yang dihadapi gergasi EPL itu.
"Kita berurusan dengan manusia dan perkara ini boleh berlaku. Jika anda melihat kepada keputusan, semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara atau Liga Europa mengharungi kesukaran.
"Selepas semua perlawanan ia agak sukar untuk kami. Anda perlu bertarung dengan kecergasan dan itu yang dilakukan oleh semua pemain.
"Malah, pemain pertahanan, Joel Matip turut telah mengalami kecederaan dalam perlawanan ini kerana faktor kecergasan. Saya harap kecederaan yang dialaminya itu tidak serius," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!