'Fikir masak-masak sebelum jatuhkan kerajaan'

Dr Muhammad Fathi Yusof
Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pihak yang berhasrat menjatuhkan kerajaan digesa mengambil langkah lebih bertanggungjawab agar rakyat dan negara tidak diheret ke dalam kecelaruan politik yang boleh memburukkan keadaan ekonomi terutama ketika wabak Covid-19.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, dari sudut hak demokratik, ahli-ahli Parlimen berhak menjatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya termasuklah secara tidak langsung iaitu dengan menolak belanjawan.

"Tapi berdasarkan realiti semasa khususnya wabak Covid-19 dan ketiadaan calon yang jelas yang mendapat sokongan majoriti, maka hak itu tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan.

"Situasi yang akan berlaku akibat kejatuhan kerajaan perlu difikirkan semasak-masaknya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apabila Perdana Menteri hilang kepercayaan, maka seorang ahli Dewan Rakyat lain perlu dipilih untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Menurutnya, pemilihan adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ada empat tokoh yang kelihatan berkemungkinan akan dicalonkan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

"Tapi belum ada petanda jelas mana-mana daripada mereka akan mendapat sokongan majoriti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apabila Perdana Menteri ketika ini dijatuhkan, tidak mustahil ada parti yang mengambil sikap berkecuali dan enggan menyokong mana-mana tokoh yang dicalonkan.

Menurutnya, jika tiada tokoh melepasi majoriti mudah, maka pilihan lain ialah pembubaran Parlimen dan seterusnya dalam masa 60 hari Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan.

"Soalnya, adakah rakyat dan negara telah bersedia melalui PRU15 dalam tempoh wabak yang belum reda ini.

"Oleh demikian, kita menggesa agar mana-mana pihak berhasrat mahu menjatuhkan kerajaan agar mengambil langkah lebih bertanggungjawab supaya rakyat dan negara tidak diheret ke dalam kecelaruan politik yang boleh memburukkan keadaan ekonomi dan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata, perlu diingat bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberikan nasihat yang jelas agar ahli politik menghentikan segera segala politiking dan tidak mengganggu gugat kestabilan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan berisiko tumbang esok: Dr Mahathir

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!