Malaysia bakal eksport baka udang galah terpilih

Dr Zainoddin (kiri) menunjukkan baka induk udang galah terpilih semasa Majlis Pelancaran Baka Induk Udang Galah Terpilih FRI Pulau Sayak 2020 pada Isnin.
Dr Zainoddin (kiri) menunjukkan baka induk udang galah terpilih semasa Majlis Pelancaran Baka Induk Udang Galah Terpilih FRI Pulau Sayak 2020 pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Malaysia dijangka mampu mengeksport baka udang galah terpilih ke luar negara setelah penyelidikan mencapai generasi keenam pada tahun 2022.

Pengarah Kanan Penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Dr Zainoddin Jamari berkata, pihaknya yakin ia mampu dicapai menerusi sokongan rakan strategik Nucleus Breeding Centre (NBC) dan Pusat Pengganda Baka (BMC) bagi memenuhi pasaran tempatan dan luar negara.

Menurutnya, sasaran itu diyakini mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeluar baka udang galah yang kompetitif.

"Kita jangka setelah mencapai generasi keenam, kita akan cuba hantar baka eksport ke luar negara. Setakat ini kita sedang membangunkan generasi keempat di mana tiga generasi telah berjaya diuji di peringkat ladang," katanya ketika melancarkan Baka Induk Udang Galah Terpilih di FRI Pulau Sayak 2020 di Kota Kuala Muda di sini pada Isnin.

Beliau berkata, antara kejayaan yang dicapai setakat ini ialah kualiti baka yang dihasilkan pada setiap generasi meningkat.

Contoh baka induk udang galah yang dihasilkan Pusat Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak yang bersedia untuk proses menetaskan benih.
Contoh baka induk udang galah yang dihasilkan Pusat Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak yang bersedia untuk proses menetaskan benih.

Katanya, ia termasuk dari segi penambahan nilainya berjaya dibangunkan kira-kira enam gram pada setiap generasi dan tempoh ternakan lebih singkat iaitu empat bulan berbanding enam bulan kebiasaannya.

"Ia secara tidak langsung mampu memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada penternak dan pengusaha udang galah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, industri pengeluaran udang galah negara juga akan berkembang dengan lebih baik seiring permintaan tinggi di pasaran.

Sementara itu, katanya, pelancaran baka induk udang galah terpilih yang dilaksanakan adalah satu usaha dilakukan FRI Pulau Sayak bermula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada tahun 2016.

Penemuan baka terpilih, katanya, secara tidak langsung berjaya mengatasi isu kekurangan baka dan kualiti serta masalah pengeluaran yang tidak mencapai sasaran.

Difahamkan, Malaysia antara negara terawal menemui teknik penternakan udang galah pada era 1960-an dan dikatakan mempunyai kualiti terbaik di dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!