Mahkamah gugur tuntutan BMMB terhadap MAIS, KUIS
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersyukur atas keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menggugurkan tuntutan sebanyak RM326.7 juta oleh Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) terhadap MAIS dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, keputusan tersebut memberikan satu makna yang sangat besar kepada warga MAIS, KUIS dan umat lslam di Negeri Selangor.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada peguamcara-peguamcara serta pegawai-pegawai MAlS dan KUIS yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kes rayuan ini,” katanya.
Pada 12 November 2018, satu notis penggantungan pelaksanaan penghakiman memerintahkan MAIS dan KUIS membayar RM326.7 juta kepada BMMB berhubung kemudahan pembiayaan pembinaan bangunan kediaman asrama dan pusat pelajar KUIS yang dibuat oleh Redha Resources Sdn Bhd (RRSB).
Bagaimanapun, tiga panel hakim rayuan telah memutuskan bahawa pihak MAIS dan KUIS tidak bertanggungan dan bertanggungjawab terhadap pinjaman tersebut.
Mahkamah Rayuan telah bersetuju dan menerima hujahan-hujahan peguamcara MAIS dan KUIS, Nurul Muhaniza Hanafi dan Mohd Radzi Yatiman dari Tetuan Abu Zahar Syed Mohd Fuad & Partners (Cawangan Kelana Jaya) menafikan kebertanggungan dan liabiliti MAIS dan KUIS berdasarkan Perjanjian Jaminan Pembayaran (PGA) yang dimeterai antara RRSB, MAIS, KUIS dan pihak responden dalam kes rayuan iaitu BMMB.
Panel hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Dian menyatakan tidak wujud klausa jaminan oleh MAIS dan KUIS terhadap pinjaman RRSB dengan pihak BMMB dalam penghakimannya.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah digugurkan dan tuntutan BMMB berjumlah RM326.7 juta terhadap MAlS dan KUIS telah ditolak.
Mahkamah Rayuan juga telah menetapkan kos sebanyak RM50,000 perlu dibayar oleh pihak BMMB kepada MAIS dan KUIS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!