Peluang Misbun ukur prestasi pemain remaja

Misbun memberi tunjuk ajar kepada pemain remaja kebangsaan pada sesi latihan di ABM, Bukit Kiara.
Misbun memberi tunjuk ajar kepada pemain remaja kebangsaan pada sesi latihan di ABM, Bukit Kiara.
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sekali lagi tampil dengan inisiatif menganjurkan Kejohanan Berpasukan Campuran untuk mengukur prestasi semasa skuad remaja negara.

Kejohanan secara tertutup itu akan berlangsung bermula esok hingga Jumaat ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara menggunakan format yang hampir sama seperti kejohanan berpasukan campuran yang diadakan pada penghujung November lalu.

Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek dalam kenyataan hari ini berkata, pertandingan seumpama itu perlu diadakan untuk mengenal pasti tahap sebenar anak didiknya yang menjalani latihan di ABM sejak Julai lalu.

Beliau berkata, penilaian dibuat berdasarkan kepada latihan yang dibuat oleh pemain selepas menjalani latihan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti latihan secara kuarantin dan melalui pertandingan tersebut menjadi panduan kepada barisan pemain.

Misbun juga berpuas hati dengan tahap disiplin dan keinginan yang dipamerkan oleh anak buahnya, serta ingin melihat kemampuan pemain mengadaptasi modul latihan diterapkan.

“Tahap kecergasan mereka juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik, dan ia akan meningkatkan keyakinan pemain. Saya ingin melihat daya tahan, cara penggunaan taktikal serta tekanan mental ketika mereka berdepan situasi tertentu,” katanya.

Sebanyak 74 pemain itu akan diasingkan kepada empat kumpulan iaitu Junior Terminators, Junior Avengers, Junior Transformers dan Junior Dominators. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!