Ada petanda Pogba kekal
PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba tidak akan meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan Januari nanti.
Ejen Pogba, Mino Raiola memberikan bayangan tersebut dengan menegaskan pemain kelahiran Perancis itu hanya berkemungkinan akan meninggalkan The Red Devils pada jendela perpindahan musim depan.
"Saya sudah meluahkan pandangan saya dan apa yang saya katakan itu sudah amat jelas. Saya bercakap mengenai musim panas ini. Pemain besar kebanyakannya sukar untuk berpindah pada bulan Januari. Ayuh lihat apa yang akan berlaku musim panas ini.
"Di England, malangnya mereka amat sensitif apabila ia melibatkan Pogba. Tetapi dia akan memiliki masa depan yang cerah," katanya.
Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama sebuah media antarabangsa, Raiola menyatakan bahawa masa untuk Pogba di kelab berkenaan sudah berakhir.
Dia juga menegaskan bahawa pemainnya itu tidak lagi gembira berada di United dan terbuka untuk kembali ke Juventus, di mana Pogba memenangi empat gelaran Serie A sebelum kepulangannya ke Old Trafford.
Kontrak Pogba bersama United akan tamat pada 2022 dan turut pernah dikaitkan menjadi sasaran Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!