Redah sungai tujuh kilometer buru lokan
MARANG - Walaupun tidak pandai berenang, seorang ibu tunggal memberanikan diri meredah sungai sehingga sejauh tujuh kilometer menggunakan bot ke kawasan paya bakau demi mencari lokan untuk diternak di dalam sangkar di Kampung Jenang di sini.
Zaharah Deraman, 56, berkata, biasanya dia akan ditemani kakak iparnya, Mariam Muda, 65, untuk memburu sumber makanan itu yang menjadi sumber pendapatan sampingannya sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, hasil pendapatannya semakin bertambah selepas membina kawasan untuk menternak lokan sejak tiga tahun lalu.
“Sebelum ada kolam, saya cari lokan di sungai dan simpan di rumah untuk dijual. Namun selepas mendapati kebanyakan lokan ini mudah mati, tidak segar dan tidak tahan lama, saya mula memikirkan kaedah yang sesuai untuk memastikan bekalan tidak putus selain dapat mengekalkan kesegaran lokan.
“Kebetulan ada kawasan sesuai dijadikan kolam ternakan lokan di belakang kediaman keluarga saya. Saya luaskan kawasan ini untuk dijadikan kawasan ternakan lokan," katanya ketika ditemui di lokasi ternakan lokan di sini.
Zaharah berkata, kawasan ternakan itu mampu menempatkan sehingga 3,000 biji lokan dalam satu-satu masa.
Menurutnya, lokan yang diternaknya mendapat permintaan tinggi termasuk pelanggan yang datang dari jauh seperti Besut dan Hulu Terengganu.
“Secara purata setiap hari sebanyak 500 hingga 600 biji lokan. Ada yang datang ambil dalam kuantiti yang banyak, ada yang suka saiz besar dan ada yang suka saiz kecil.
“Kadang-kadang saya tak sempat letak lokan di kolam ternakan, sudah ada pelanggan yang tempah. Ada masa tertentu lokan yang dicari laku di tengah sungai, tak sempat sampai ke darat,” katanya.
Selain menu bakar, katanya, lokan juga sedap digoreng, masak lemak cili api, gulai daun kadok, dibuat sate dan dibuat cucur yang diadun bersama tepung.
Menurutnya, disebabkan permintaan semakin tinggi, dia mengambil inisiatif menjual lokan sejuk beku dengan kuantiti 100 biji bagi setiap sebungkus.
Katanya, sumber makanan itu dijual pada harga RM26 untuk 100 biji untuk lokan saiz besar, manakala RM20 untuk lokan saiz kecil.
“Lokan-lokan kecil yang diternak di kolam ini ambil masa enam hingga tujuh bulan untuk matang. Jadi, sebaik dapat lokan di sungai, saya akan asingkan terlebih dahulu lokan saiz kecil dan lokan saiz besar. Ia akan dijual berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya yang kehilangan suami sejak dua tahun lalu.
Walaupun suaminya, Ab Razak Muda telah tiada, Zaharah berkata, dia tetap meneruskan pencarian lokan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, dia turut dibantu anaknya, Sharfina Ab Razak, 34, untuk memasarkan hasil ternakan lokan melalui laman sosial Facebook.
Selain lokan, Zaharah turut mencari ketam nipah serta menganyam atap nipah sekiranya mendapat permintaan.
Katanya, ketam nipah dijual pada harga RM45 sekilogram bagi saiz besar dan RM40 sekilogram bagi saiz sederhana.
“Ketam nipah biasanya bermusim. Kalau tiba musim ketam nipah, kita boleh dapat dalam dua hingga tiga kilogram sehari. Biasanya ketam nipah mudah didapati bulan Julai, Ogos dan September,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!