Menangis tak berlagu
SEPERTI yang diduga, pembangkang kalah lagi. Semalam Rang Undang-Undang Perbekalan untuk bacaan kali ketiga diluluskan oleh Dewan Rakyat.
‘Bujet’ 2021 lulus dengan undi belah bahagi yang memenangkan kerajaan PN, 111-108. Pada peringkat jawatankuasa pun kesemua 27 kementerian lulus ‘bujet’ sebelum itu.
Apa nak dikata? Nasi dah jadi bubur. Salahnya pembangkang sendiri. Sepatutnya mereka dah atur strategi untuk tolak ‘bujet’ sejak peringkat dasar lagi.
Tapi dengarnya berlaku kekeliruan sewaktu undian pada 26 November lalu. Mesej dari atas (Ketua Pembangkang) buat mereka haru biru. Nak dapat 15 orang untuk bangun menolak pun tak berlaku.
Walaupun mereka dah setuju nak gagalkan pada bacaan ketiga semalam tapi tewas juga. Ketiga-tiga parti utama PKR, DAP dan Amanah dah buat ketetapan akan tolak ‘bujet’ itu. Ketua Pembangkang pun bukan main yakin nak ajar kerajaan pimpinan Tan Sri Perdana Menteri.
Pada pendapat Awang, ini pengajaran pahit bagi pembangkang. Awang juga percaya akan berlaku tuduh menuduh dalam kalangan pembangkang selepas ini. Mereka akan mula cari di mana silapnya. Akan ada yang mula persoalkan wibawa Ketua Pembangkang sendiri. Banyak yang kecewa dengan tindak tanduknya dalam isu ‘bujet’ ini.
Ketua Pembangkang selama ini bagi tahu dunia dia punya jumlah penyokong yang lebih besar daripada Tan Sri Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Dia juga yakinkan Yang di-Pertuan Agong. Atau apakah maksudnya yang sokong dia lebih besar jumlahnya daripada yang tolak ‘bujet’?
Kenalah dia jawab kepada semua penyokong pembangkang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!