Presiden Mexico ucap tahniah kepada Biden
MEXICO CITY - Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador pada Selasa mengucapkan tahniah kepada Joe Biden atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, dan menyeru kerjasama lebih luas dalam menangani masalah pendatang.
Pada sidang media, Lopez Obrador berkata, perutusan tahniah itu dihantar Isnin malam, beberapa jam selepas Undian Elektoral mengesahkan kemenangan Biden dalam pilihan raya 3 November, lapor Agensi Berita Xinhua.
Antara kandungan perutusan tahniah itu Lopez Obrador berkata, "Kami yakin dengan adanya anda sebagai Presiden Amerika Syarikat, ia mungkin akan dapat meneruskan prinsip asas dasar luar yang termaktub dalam perlembagaan kami, terutamanya dasar tidak campur tangan dan penyelesaian sendiri masalah dalaman berkaitan warga.
Beliau menambah, "Saya juga menyatakan penghargaan saya atas pendirian anda yang menyokong pendatang dari Mexico dan dunia."
Menyokong penduduk migran akan mempromosikan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di tenggara Mexico dan Amerika Tengah, oleh itu 'tidak ada yang dipaksa meninggalkan tempat asal mereka' untuk mencari pekerjaan di tempat lain, kata Lopez Obrador.
"Dengan demikian kita akan dapat membina penyelesaian sebenar untuk aliran migrasi dari dan melalui Mexico ke Amerika Syarikat," katanya.
Biden akan mengambil alih jawatan pada 20 Januari 2021.
-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!