Covid-19: Saluran, pusat daerah mengundi ditambah jika PRU15
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menambah pusat daerah mengundi dan saluran mengundi bagi menggalakkan rakyat supaya keluar mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam suasana normal baharu berikutan pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Shabudin Yahaya berkata, perkara itu akan dilaksanakan bagi mengatasi kebimbangan dalam kalangan pengundi berikutan pandemik Covid-19 yang dilihat belum berakhir.
“SPR sudah mempunyai perancangan untuk menggalakkan pengundi turun mengundi.
Penambahan pusat daerah mengundi dan saluran mengundi akan membantu percepatkan proses mengundi (selesai awal) selain memberi jaminan kepada pengundi agar keluar mengundi dengan selamat,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Idris Ahmad mengenai usaha kerajaan bagi menambah keyakinan pengundi untuk keluar mengundi sekiranya pilihan raya umum dilaksanakan walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Idris mengenai tahap kesiapsiagaan SPR melaksanakan PRU dalam suasana normal baharu, Shabudin berkata, prosedur operasi standard (SOP) PRU dalam pencegahan pandemik Covid-19 telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
“Garis panduan pencegahan Covid-19 itu disesuaikan dengan arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan telah diguna pakai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, PRK DUN Slim serta Pilihan Raya Negeri Sabah,” kata Shabudin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!