Remaja lemas, 14 jam tersepit celah batu
BATU KURAU - Mayat remaja lelaki yang lemas ketika mandi di air terjun Kampung Air Itam, Jelai di sini pada Selasa berjaya dibawa keluar selepas hampir 14 jam tersepit di celah batu.
Mangsa, Mohd Izwan Shah Fazli, 18, yang berasal dari Semanggol ditemukan pada jam 7.25 pagi hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa bersama empat rakannya beriadah di lokasi tersebut.
"Mangsa dikatakan telah tergelincir di celah batu kerana cuaca hujan lebat mengakibatkan mangsa lemas di tempat kejadian.
"Seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau dan Kamunting bersama tiga anggota polis terlibat dalam operasi membawa keluar mangsa," katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan operasi awal membawa keluar mangsa mengalami kesukaran akibat arus deras berikutan kejadian kepala air.
"Anggota menggunakan teknik pencarian permukaan dengan memakai 'personal floating devide' (PFD) dan dibantu peralatan 'hydraulic tool' bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah batu.
"Operasi itu turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Peralatan penyelamat seperti tali digunakan bagi memastikan keselamatan anggota," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Remaja dikhuatiri lemas, tersepit celah batu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!