KPM komited pastikan tiada pelajar tersisih
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melihat aplikasi bersesuaian yang boleh digunakan secara menyeluruh oleh semua pelajar yang mengikuti pembelajaran di rumah susulan pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia juga selaras dengan dasar digitalisasi yang ingin dilaksanakan kementerian itu dengan mengambil kira situasi semasa yang dialami negara ketika ini.
Menurutnya, perkara itu antara fokus yang sedang dirangka kementerian bagi memastikan tiada pelajar yang tersisih dalam mendapatkan pendidikan terbaik.
"Jadi perkara ini mengambil sedikit masa kerana sewaktu berlakunya Covid-19, kita tidak menjangka bahawa keadaan tersebut akan berlaku.
"Pada waktu itu, kita gunakan apa-apa sahaja sumber yang ada bagi memastikan pelajar terus mengikuti pembelajaran mereka di rumah melalui pelbagai kaedah," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, usaha yang dilaksanakan itu juga mengambil kira digitalisasi kementeriannya di semua peringkat termasuk sekolah, guru dan pelajar.
"Dalam konteks ini kerajaan akan menaik taraf capaian internet sekolah dengan capaian berkelajuan lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan KPM akan berunding dengan kerajaan negeri bagi merungkai isu sekolah daif terutama perkara berkaitan hak milik tanah yang menjadi kekangan utama menyebabkan pembangunan sekolah berkenaan tidak dapat dilaksanakan.
Ini kerana katanya, pertikaian mengenai hak milik tanah dikenal pasti sebagai kekangan utama dalam usaha kementerian untuk memulihkan sekolah daif.
"Saya sedar ramai yang bangkitkan mengapa pembinaan sekolah daif ini lambat, peruntukan ada, tetapi tidak diteruskan aspek pembangunan dan pelbagai lagi.
"Jadi saya minta kementerian untuk buat 'stock take' dan adakan perbincangan dengan kerajaan negeri kerana nak buat (pembangunan semula) sekolah daif ini mudah, peruntukan ada, tetapi tanah orang.
"Oleh itu, pada tahun depan, kita peruntukkan dana yang cukup besar bagi menjalankan pemutihan hak milik tanah sekolah daif di sekolah negara," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Murid tersisih antara isu utama dibangkitkan Maszlee
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!