Kerajaan digesa kawal bayaran dividen Petronas
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang hari ini menggesa kerajaan mengawal bayaran dividen oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) supaya ia dapat digunakan untuk tujuan kecemasan.
Wong Chen (PH-Subang) berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan agar dana yang ada dapat digunakan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
"Dana Petronas kita patut kawal, kebiasaannya kita minta (dividen) antara RM20 bilion dan RM30 bilion, paling maksimum.
"Untuk masa kecemasan di dalam Covid-19 ini, saya rasa kalau ada keperluannya timbul, kita kena guna dana Petronas.
"Bagaimanapun, isu yang saya timbulkan adalah berkaitan dengan laporan hasil Petronas. Ini tidak boleh bagi kepada Perdana Menteri seorang, kita boleh buat komuniti khas.
"Komuniti Parlimen, kita boleh dengar dan bersumpah untuk tidak bocorkan maklumat tersebut," katanya pada Sesi Perbahasan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2020 di Dewan Rakyat di sini pada hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang meminta pandangan mengenai kewajaran kerajaan untuk mengambil dividen Petronas melebihi daripada had yang ditetapkan.
Terdahulu, dalam sesi perbahasan sama, Wong Chen turut mengesyorkan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar melakukan satu reformasi terhadap laporan hasil Petronas.
Katanya, laporan hasil Petronas itu wajar dibentangkan kepada komuniti Parlimen dan tidak sepatutnya diberikan kepada Perdana Menteri sahaja.
Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat hari ini buat pertama kali menyaksikan tiada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan selain turut berlangsung serentak dengan Sidang Dewan Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!