Rayu Eha kembali demi masa depan anak
TEMERLOH - Sebuah keluarga dari Kampung Rumpun Makmur, Kuala Krau di sini buntu memikirkan nasib dan masa depan anak jagaannya yang terlepas peluang bersekolah seperti kanak-kanak lain kerana statusnya sebagai bukan warga negara.
Tasha Shafira Abdullah, 11, hanya sempat mengikuti pendidikan awal di tadika namun gagal didaftarkan untuk mengikuti persekolahan kerana statusnya itu.
Bapa kanak-kanak itu seorang warga tempatan manakala ibunya, Eha Romiyati, 40-an warga Indonesia.
Mereka dikatakan tidak mendaftarkan perkahwinan yang dilangsungkan di Indonesia itu di negara ini menyebabkan status Tasha dikategorikan sebagai bukan warganegara.
Lebih menyulitkan apabila ibu Tasha Shafira menghilangkan diri selepas bapanya meninggal dunia sejak 2015.
Penjaga kepada kanak-kanak malang ini, Tan Lee Khoo Kamarulzaman, 62 berkata, dia cuba mengesan wanita itu bagi menguruskan proses permohonan untuk mendaftarkan Tasha Shafira sebagai anak angkatnya yang sah.
Menurutnya, usaha itu bagi membolehkan anak jagaannya itu mendapat status kerakyatan dan berpeluang mengikuti persekolahan walaupun agak terlambat.
"Saya telah menghantar permohonan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan.
"Saya difahamkan, pihak JKM perlukan bukti bahawa kami pernah mencari wanita itu untuk dikemukakan kepada pihak mahkamah sebelum permohonan ini dipertimbangkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata, atas nasihat pihak tertentu, dia cuba mendapatkan bantuan Sinar Harian untuk mengesan Eha sebagai usaha terakhir selepas pencariannya selama ini menemui jalan buntu.
Menceritakan kejadian berlaku lima tahun lalu, Tan Lee Khoo berkata, selepas suaminya meninggal dunia, Eha mengambil keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur.
"Dia sendiri minta saya dan isteri menjaga anaknya ini yang ketika itu berusia empat tahun memandangkan kami ada pertalian keluarga dengan arwah suaminya.
"Kami sekeluarga menerimanya dengan hati terbuka dan dia berjanji akan kembali menemui anaknya.
"Namun sejak itu dia tidak pernah kembali dan kami juga terus terputus hubungan,"katanya.
Dalam pada itu, Tan Lee Khoo berkata, Eha pernah sekali menghubungi untuk memaklumkan bahawa majikan akan membawanya ke Singapura untuk bekerja dan selepas itu tiada sebarang khabar berita darinya.
Tan Lee Khoo yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, kasih sayangnya terhadap Tasha sama seperti lima anaknya yang lain.
"Saya dan isteri sudah anggap Tasha Shafira seperti anak sendiri dan cuba buat yang terbaik untuk masa depannya termasuklah menghantarkannya ke sekolah. Jadi saya harap proses ini dapat segera diselesaikan demi masa depan anak ini," katanya.
Justeru Tan Lee Khoo berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui berhubung wanita itu supaya menghubunginya di talian 016-8146803.
"Harapnya Eha sendiri yang baca dan kami merayu supaya dia kembali menemui anaknya ini dengan segera serta membantu selesaikan urusan ini.
"Setidak-tidaknya dengan kepulangannya nanti dapat meredakan rindu anak ini terhadap ibunya sejak sekian lama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!