Banjir di empat wilayah selatan Thailand belum surut

Empat wilayah di selatan Thailand masih ditenggalami air akibat fenomena banjir termenung di selatan Thailand. Foto Bernama
Empat wilayah di selatan Thailand masih ditenggalami air akibat fenomena banjir termenung di selatan Thailand. Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Kira-kira 26,000 keluarga di empat wilayah di selatan Thailand terjejas akibat 'banjir termenung' berikutan air banjir masih belum surut walaupun cuaca cerah dan panas.

‘Banjir termenung', fenomena air banjir bergenang selama beberapa minggu kerana tidak dapat mengalir ke sungai atau laut.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Boontham Lertsukhikasem berkata, banjir buruk di selatan Thailand, berpunca daripada hujan lebat monsun sejak 25 November lalu, menjejaskan 691,659 keluarga di 11 wilayah.

Walaupun cuaca semakin baik, beliau berkata empat wilayah iaitu Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, dan Trang masih digenangi air banjir.

"Banjir tersebut meragut 30 nyawa termasuk 21 di Nakhon Si Thammarat, wilayah paling teruk dilanda, tiga di Phattalung, dan masing-masing dua di Trang, Surat Thani dan Songkhla," katanya.

Wakil NGO, IHH Humanitarian Relief Foundation menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada mangsa banjir di Surat Thani selatan Thailand. Foto Bernama
Wakil NGO, IHH Humanitarian Relief Foundation menyampaikan sumbangan berupa makanan kepada mangsa banjir di Surat Thani selatan Thailand. Foto Bernama

Sementara itu, Gabenor Nakhon Si Thammarat, Kraisorn Wisitwong berkata, kira-kira 70,000 penduduk desa dari enam daerah di wilayah itu terjejas dengan "banjir termenung".

Berdasarkan penilaian awal, katanya, lebih 4,200 rumah rosak, 623 kuil Buddha, enam gereja, dan lima masjid terjejas akibat banjir besar itu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkuasa berkaitan masih melakukan penilaian mengenai kerosakan dan kerugian," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan ribut petir dan hujan lebat di selatan Thailand mulai hari ini hingga 22 Disember.

Penduduk di selatan diminta terus berwaspada dan amaran berjaga-jaga turut dikeluarkan kepada kapal-kapal yang belayar di Teluk Thailand. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!