KDA FC dedah logo baharu ciptaan Ku Basri

Muhammad Sanusi menunjukkan logo hasil ciptaan Ku Basri yang memenangi pertandingan mereka cipta logo baharu KDA FC di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi menunjukkan logo hasil ciptaan Ku Basri yang memenangi pertandingan mereka cipta logo baharu KDA FC di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
A
A
A

LOGO ciptaan salah seorang peminat bola sepak Kedah, Ku Basri Ku Halim berjaya memikat hati juri dan tampil sebagai pemenang pertandingan mereka cipta logo baharu pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, logo berkenaan berjaya mengenepikan 900 penyertaan yang diterima Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sepanjang pertandingan terbabit berlangsung sejak Oktober lalu.

Katanya, logo itu juga melalui beberapa tapisan oleh beberapa jawatankuasa terlibat termasuk jawatankuasa penapisan pemilihan logo dan pemilik FC.

"Kemenangan ini sekaligus melayakkan penciptanya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 yang disumbangkan oleh Darul Mutadha dari Sungai Petani," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

No Image Caption

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mengakui dalam isu pemilihan logo terbabit pasti akan timbul ketidakpuasan hati yang tidak dapat dielakkan.

"Logo ini sesuatu yang abstrak dan subjektif, namun kita telah melaksanakan pemilihan ini dengan sebaiknya dan semua pihak yang terlibat bersetuju bahawa logo ini adalah yang terbaik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, senarai penuh skuad KDA FC akan diumumkan pada 15 Januari depan menerusi satu majlis yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan musim depan dijangka akan tampil dengan aksi lebih mantap berbanding musim ini, bagaimanapun pembiayaannya pula dijangka lebih kecil daripada sebelum ini.

"Kita juga akan melaksanakan penyusunan semula struktur gaji dan elaun anggota pasukan. Insya- Allah, kita menetapkan sasaran untuk menjadi pasukan terkuat bagi memenangi semua pertandingan dalam Liga Malaysia.

"Kita akan pastikan peruntukan pasukan tidaklah sampai ke angka RM30 juta seperti musim ini. Tetapi itu tidaklah bermakna peruntukan diletakkan terlalu kecil kerana kita tetap mempunyai matlamat untuk menyediakan pasukan terkuat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!