Kerang 'gasi' juadah istimewa di Pantai Batu Buruk

Kerang gasi yang siap dimasak sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Kerang gasi yang siap dimasak sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Saiznya yang luar biasa besar serta jarang ditemui menjadikan menu kerang gasi (gergasi) bakar di gerai Penyu Corner yang beroperasi di Pantai Batu Buruk di sini istimewa sekali gus menarik perhatian pengunjung.

Uniknya, saiz kerang di gerai makan itu ada yang mencecah saiz 20 sentimeter menjadikan ia antara kerang terbesar pernah dijual di sini.

Pemilik gerai makanan Penyu Corner, Rohana Omar, 48 berkata, terdapat tiga saiz kerang yang dijual di gerainya iaitu besar (AAA), sederhana besar (AA) dan sederhana (A).

"Permintaan terhadap kerang bergantung kepada citarasa pelanggan, ada yang gemar kerang saiz kecil, ada juga yang sukakan kerang bersaiz besar kerana rasa dagingnya lebih kenyal dan isinya yang tebal.

"Saiz hidangan sama sahaja kerana di sini kita memang jual kerang gasi. Bagi pelanggan yang tidak gemarkan kerang terdapat menu lain yang turut disediakan di sini," katanya.

Rohana berkata, kerang yang dijual pada harga RM15 semangkuk itu biasanya habis dijual sebaik gerai beroperasi bermula jam 4 petang hingga 10 malam.

Terdapat tiga saiz kerang gasi iaitu saiz AAA, AA dan A dijual di gerai Penyu Corner yang beroperasi di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Terdapat tiga saiz kerang gasi iaitu saiz AAA, AA dan A dijual di gerai Penyu Corner yang beroperasi di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

"Jualan bergantung pada keadaan, biasanya hari biasa dalam 50 hingga 60 kilogram (kg), tetapi bila hari minggu kuantiti lebih banyak dan pernah cecah 90 hingga 100 kg," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, kerang gasi bersaiz besar agak sukar diperoleh dan hanya bergantung kepada bekalan yang dihantar pembekal.

Menurutnya, bekalan kerang biasanya diperoleh daripada tiga pembekal secara bergilir-gilir iaitu dari Sabah, Perak dan Klang.

"Untuk dapatkan stok kerang saiz besar agak sukar kerana kebanyakan pembekal yang ditemui tidak sanggup hantar kerana ia sukar diperoleh. Tambahan pula, kerang ini kita dapatkan yang betul-betul segar dan berkualiti sebab itulah harganya juga agak mahal.

"Ada hari-hari tertentu bekalan kerang terputus, kita terpaksa tutup operasi kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan. Biasanya kalau yang datang dari jauh, kita galakkan mereka untuk telefon terlebih dahulu," katanya.

Pembantu kedai di gerai Penyu Corner, Mohamad Nazariezal Arif Daud menunjukkan antara kerang gasi yang siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Pembantu kedai di gerai Penyu Corner, Mohamad Nazariezal Arif Daud menunjukkan antara kerang gasi yang siap dimasak dan sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.

Rohana yang berasal dari Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu turut dibantu suaminya, Ahmad Zikri Che Ali, 39 selain tujuh lagi pekerjanya.

Dia berkata, minat untuk berniaga kerang gasi kerana gemarkan sesuatu yang unik untuk dikongsi bersama pelanggan.

"Sebenarnya saya sekeluarga memang suka makan kerang. Daripada situ kami berusaha cari bekalan ini di merata-rata tempat sehinggalah bertemu dengan tiga pembekal yang sanggup terima tempahan.

"Kini sudah masuk tahun kedua gerai ini beroperasi sejak 2019 dan sambutan diterima amat memberangsangkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!