Penduduk Jengka dakwa diganggu ketukan pintu misteri
JENGKA - Seorang peneroka di Felda Jengka 24, di sini mendakwa mendengar ketukan di pintu rumahnya beberapa kali, namun tiada sesiapa yang muncul dalam kejadian pada Ahad lalu.
Nazli Musa, 56, berkata, pada awalnya dia menyangka anaknya mengetuk pintu untuk masuk ke rumah kira-kira jam 11.30 malam.
"Saya cakap jangan ketuk (pintu), masuk sahaja sebab pintu bukan berkunci. Saya fikir anak berada di luar pintu tetapi keadaan terus senyap.
"Ketukan berlaku secara berselang kira-kira lima minit tetapi saya tetap tidak buka pintu rumah, namun pada masa sama saya rasa hairan, kerana anak saya tidak pula masuk rumah.
"Kemudian, saya jenguk (periksa) bilik anak-anak saya dan terkejut sebab semua anak saya rupanya dalam bilik masing-masing. Sekelip mata saya terus rasa meremang memikirkan kejadian tersebut (ketukan pintu)," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 60, meminta penduduk supaya tidak panik berhubung perkara tersebut sekali gus menasihati mereka agar jangan terus membuka pintu jika menghadapi situasi seperti itu.
"Kita bimbang hal ini menjadi satu ancaman bahaya kepada penduduk.
"Saya saran mereka membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga jika menghadapi situasi tersebut," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Misteri ketukan pintu di Jerantut
Ketukan misteri di Jerantut: Masjid diminta buat solat hajat
Lapor polis jika benar ada bunyi ketukan misteri di Terengganu
Misteri ketukan pintu didakwa sudah sampai Kuala Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!