Demi cinta, lelaki akhirnya dipenjara

McLaughlan mengambil masa lebih empat jam untuk menyeberang laut sejauh 40 kilometer pada Jumaat lalu. - Foto: Agensi
McLaughlan mengambil masa lebih empat jam untuk menyeberang laut sejauh 40 kilometer pada Jumaat lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Bak kata pepatah, kerana cinta lautan api sanggup diredah.

Gara-gara melanggar sekatan Covid-19 kerana mahu bertemu teman wanitanya di Isle of Man, seorang lelaki di Scotland berdepan padah selepas dihukum penjara.

BBC melaporkan Dale McLaughlan, 28, dari Ayrshire di selatan Scotland didakwa turut membeli jet ski untuk menyeberang laut sejauh 40 kilometer pada Jumaat lalu.

"Pada mulanya, dia mengambil peluang untuk bertemu dengan kekasihnya ketika bekerja di pulau yang terletak di Laut Ireland tersebut pada September lalu. McLaughlan kemudiannya terpaksa pulang ke Scotland selepas kontrak kerjanya tamat dan turut dilarang memasuki semula ke pulau itu.

"Dia yang tidak pernah menaiki jet ski sebelum ini menjangkakan perjalanan itu mungkin mengambil masa kira-kira 40 minit. Namun, keadaan laut yang bergelora dengan suhu purata kira-kira lapan darjah celsius menyebabkan perjalanan itu mengambil masa lebih empat jam," lapor BBC memetik kenyataan pendakwa raya di Douglas.

McLaughlan kemudiannya terpaksa berjalan sejauh 24 kilometer untuk tiba di rumah teman wanitanya.

Ahad lalu, lelaki itu akhirnya ditahan selepas pihak berkuasa mendapati dia masuk ke pulau itu secara haram selain berkunjung ke kelab malam bersama kekasihnya.

Timbalan Tinggi Bailif, Christopher Arrowsmith berkata, McLaughlan telah melanggar sekatan sempadan dengan sengaja dan dia dijatuhi hukuman penjara empat minggu atas kesalahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam bela McLaughlan memaklumkan anak guamnya mengalami depresi kerana tidak dapat bertemu teman wanitanya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!