Lebih baik Syed Saddiq fokus bangunkan atlet, program belia
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran untuk memberi lebih fokus terhadap isu membabitkan atlet sukan negara dan usaha menghidupkan program belia yang kini dilihat semakin tidak bermaya.
Exco Pemuda Umno, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata, Syed Saddiq kini dilihat
lebih bersungguh-sungguh dalam melontarkan idea-idea tambahan yang baharu ke atas perancangan asal yang dibuat kerajaan terdahulu.
“Saya bimbang dengan janji manifesto yang tidak dilaksanakan berikutan kekangan yang samar-samar, beliau tidak akan dapat melaksanakan pelan-pelan baharu membabitkan kementeriannya.
“Apatah lagi, beliau ketika ini berdepan pelbagai isu, antaranya peletakan jawatan atlet sukan, elaun atlet yang rendah, program belia yang tidak semeriah dulu dan terbaharu, kemalangan pemain hoki negara yang tidak mendapat pembelaan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, faktor-faktor berkenaan boleh merosakkan imej Kementerian Belia dan Sukan yang dianggap sebagai tapak awal kepada setiap langkah anak muda, belia dan atlet untuk mencapai kejayaan.
"Syed Saddiq tak perlu malu untuk meneruskan pelan asal yang telah dirancang oleh pentadbiran terdahulu agar kesinambungan dan kecemerlangan belia dan atlet sukan dapat dicapai semaksimum mungkin.
“Saya risaukan tanggungjawab dalam menjaga prestasi atlet dan pembangunan belia tidak mencapai tahap yang tinggi jika terus mengaitkan perkara dan isu ini dengan politik... biarlah diasingkan dan mengikut kesesuaian," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:'Kerana saya kecewa...' : Azri Zahier
ARTIKEL BERKAITAN:'Sesen pun saya tak terima, alih-alih kena caci'
Muhamad Muqharabbin turut berharap, Syed Saddiq dapat lebih fokus dan cuba mengawal pegawai-pegawai kanan yang sedikit sebanyak menjadi beban kepada beliau.
"Apa yang berlaku terhadap projek produk usahawan belia, memakan diri sendiri kerana tidak fokus dengan perancangan dan perjanjian yang dibuat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!