400 ahli PKR Gopeng sertai Bersatu
IPOH - Seramai 400 ahli meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gopeng dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak sekali gus menubuhkan sayap baharu ahli bersekutu Bersatu Bahagian Gopeng.
Bekas Naib Ketua PKR Cabang Gopeng, P Selvam berkata, kecewa dengan kepimpinan parti itu antara faktor mereka bersama 100 ahli baharu lain mengambil keputusan itu untuk berada di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya, Bersatu dilihat platform terbaik kepada kumpulannya untuk menyalurkan khidmat kepada masyarakat.
“Bersatu Bahagian Gopeng telah beri saya satu tanggungjawab sebagai ketua ahli bersekutu yang mana ia peluang yang baik dalam membantu rakyat.
“Sudah 18 tahun berjuang bersama parti terdahulu, Bersatu beri peluang untuk berkhidmat dan secara rasmi saya bersama Parti Bersatu. Proses kemasukan ahli ini akan berjalan berterusan. Kami akan mengutip seramai yang boleh,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Kompleks Silveritage di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak berkata, pihaknya berbesar hati dengan pemilihan kumpulan itu menyertai Bersatu sekali gus bekerjasama sebagai sayap ahli bersekutu.
“Ini adalah masa terbaik memasuki Bersatu dan mengembangkan khidmat kepada rakyat melalui parti kami serta gabungan Perikatan Nasional.
“Perkara ini merupakan suatu yang positif terutama dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan membuka 50 cawangan di Bahagian Gopeng. Kehadiran sayap baharu ini menambah kekuatan kepada kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!