Pekerjaan yang hilang

A
A
A

“MASUK lagi... Dalam lagi... Tu yang sana tu, rapatlah sikit.. Lagi... Lagi..!”

Mereka yang pernah menikmati kesesakan bas mini tentu masih ingat suara seperti itu.

Suara konduktor bas mini mengarahkan penumpang menyendatkan ruang bagi membolehkan bas itu membawa seramai yang boleh.

Selama 23 tahun suara-suara seperti itu dapat didengar saban pagi, tengah hari, petang dan malam dari bas-bas kecil yang digelar ‘raja’ Kuala Lumpur itu.

Mereka menjadi orang yang begitu penting. Suara mereka menjadi seakan suara yang wajib didengar oleh setiap pengguna bas mini, yang pada waktu-waktu tertentu sesaknya mengalahkan sardin di dalam tin.

Tetapi suara-suara itu tiada lagi sekarang. Hilang bersama bas-bas mini yang perkhidmatannya ditamatkan pada 1 Julai 1998.

Turut hilang bersama sudah tentulah pemandu bas-bas berkenaan.

Dahulu, setiap pondok tol, ada jurutolnya. Setiap kali kita hendak lalu, mereka menghulurkan tangan keluar, sama ada untuk memberikan tiket atau mengambil duit yang kita hulurkan.

Artikel Berkaitan:

Ada ketikanya yang menghulurkan tangan itu begitu cantik sehingga menyebabkan kita terasa hendak lalu di laluan yang sama berkali-kali.

Tetapi sejak muncul ‘Touch n Go’, ‘SmartTAG’ dan seumpamanya, jurutol-jurutol itu mula hilang.

Seorang demi seorang, berperingkat-peringkat. Kini jika ada pun hanya seorang dua, di laluan yang khusus untuk penambahan kredit.

Seperti konduktor dan pemandu bas mini, jurutol menjadi pekerjaan yang ‘dihanyutkan’ oleh arus kemajuan.

Pada zaman kanak-kanak dahulu saya kerap mendengar mereka yang berstatus kakak-kakak bercakap tentang kelas menaip. Saya juga pernah beberapa kali melihat papan tanda kelas menaip di beberapa tempat.

Selalunya selepas selesai menduduki peperiksaan SPM atau STPM, dan sementara menunggu keputusan, kelas-kelas menaip itu menjadi tumpuan – terutamanya bagi anak gadis.

Ia dilihat begitu penting sebagai persediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan, lebih-lebih lagi jika keputusan peperiksaan mengurangkan peluang untuk menyambung pelajaran.

Datang komputer. Kelas-kelas menaip itu beransur-ansur hilang bersama dengan guru-gurunya sekali. Untuk suatu tempoh kelas-kelas komputer pula menguasai pasaran.

Di sana kelas komputer, di sini kelas komputer. Dapat mengikuti kelas itu bukan sahaja menjadi kelebihan, malah terasa macam satu kemegahan.

Walhal komputer pada masa itu hanyalah berskrin monochrome dengan perisian yang amat-amat terbatas.

Apabila muncul internet, teknologi interaktif dan pelbagai lagi yang membolehkan komputer digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk budak-budak yang baru turun dari buaian, kelas komputer pula perlahan-lahan hilang.

Bersekali dengan guru-gurunya juga.

Demikianlah, dalam tempoh empat dekad kebelakangan ini sudah tidak terhitung jumlah bidang pekerjaan yang hilang ditelan zaman.

Bagi mereka yang pernah menonton siri sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu, tentu masih ingat watak Mat Deris (yang dilakonkan oleh Allahyarham Ahmad Busu) yang bekerja sebagai pengangkut najis, pekerjaan yang tidak pernah dibayangkan oleh kita tetapi sebenarnya memang ada, dan penting pada tahun 1970-an dan sebelumnya.

Di stesen kereta api pada masa dahulu ada porter yang menawarkan perkhidmatan mengangkat dan mengangkut barang-barang penumpang.

Di pintu ke platform ada tukang periksa tiket, begitu juga ketika di dalam koc. Di luar stesen, selain teksi berpermit ada pemandu teksi sapu menanti untuk dilanggan.

Kesemua mereka; porter, tukang periksa tiket, pemandu teksi sapu, kini hanya tinggal di lipatan kenangan.Jurutrengkas atau steno, jurutaip, peon dan operator telefon adalah antara jawatan-jawatan popular pada suatu ketika dahulu.

Iklan-iklan mengenai kekosongan jawatan itu di akhbar-akhbar sentiasa menjadi tumpuan. Tetapi sejak suku abad yang lalu saya tidak pernah lagi melihat iklan yang menawarkan pekerjaan serupa itu lagi.

Proses ini sesungguhnya akan berterusan. Satu demi satu pekerjaan akan terus hilang, sama ada sebab diambil alih oleh teknologi atau kerana pelbagai faktor semasa yang menyebabkan pekerjaan itu hilang keperluan dan kepentingannya.

Sejak daripada dahulu sehingga sekarang ini, juruwang masih merupakan pekerjaan yang penting.

Tetapi dengan berkembangnya cashless society atau masyarakat tanpa tunai, kedudukan mereka mula tergugat sedikit demi sedikit. Suatu masa nanti, apabila semua urusan jual beli tidak melibatkan transaksi tunai, mereka mungkin tidak diperlukan lagi.

Dalam bidang sukan pengadil-pengadil perlawanan juga sedang diancam oleh teknologi VAR (Video Assistant Referee) yang suatu masa nanti hampir pasti akan mengambil alih tugas dan peranan mereka.

Malah, pembalak di hutan juga berkedudukan tidak selamat, yang mengancam pekerjaan mereka bukan teknologi tetapi perubahan sikap manusia terhadap penggunaan sumber alam.

Usaha mengekalkan kehijauan, ditambah pula dengan berkurangnya penggunaan kertas dalam paperless society atau masyarakat tanpa kertas menyebabkan pembalakan akan terus diminimumkan dari masa ke masa.

Teknologi kereta tanpa pemandu atau autonomous sedang giat dibangunkan dan mencapai kemajuan yang pesat.

Perjalanan untuk menghasilkan kereta yang tidak memerlukan pemandu sama sekali mungkin masih agak jauh, tetapi kita sedang bergerak pantas ke arah itu.

Kini kereta-kereta semi-autonomous sudah mula berada di jalan raya. Jumlahnya juga ketara banyak. Kebanyakan fungsi dikawal oleh kereta berkenaan manakala peranan pemandu semakin berkurangan.

Kehadiran kereta-kereta seperti itu sudah tentu akan menyebabkan jawatan pemandu peribadi tidak lagi dianggap perlu. Apabila teknologi itu dikembangkan kepada kenderaan lain, lori, bas, malah kapal terbang, kiralah sendiri berapa banyak jawatan yang hilang?

Pada Mac 2018 di Pasadena, California, sebuah syarikat bernama Miso Robotic yang terkenal dalam teknologi robotik dan kecerdasan buatan (artificial intelegence) telah menghasilkan robot yang berperanan sebagai pembantu dapur.

Robot yang dinamakan Flippy itu kemudiannya ‘diambil bekerja’ oleh Caliburger, sebuah restoran makanan segera terkenal.

Suatu masa nanti akan lebih banyak Flippy dihasilkan dan tentulah lebih banyak juga tukang masak yang terpaksa mencari kerja lain.

Satu laporan oleh CNBC tahun lalu menyebut bahawa dijangkakan 20 juta pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diambil alih oleh robot menjelang tahun 2030.

Laporan yang sama turut mendedahkan hasil satu kajian oleh Oxford Economics yang menjangkakan di China sahaja, dalam tempoh 11 tahun akan datang, 14 juta robot akan ‘memasuki pasaran pekerjaan’.

Itu baru di China, bagaimana dengan di tempat-tempat lain. Itu baru 11 tahun akan datang, bagaimana pula dengan 50 tahun atau 100 tahun selepas itu? Apa lagi kerja yang tinggal untuk kita – manusia?

Apapun kita tidak perlu gusar. ALLAH Maha Adil. Diambil satu, diganti yang lain. Sementara pekerjaan-pekerjaan sedia ada hilang, akan muncul peluang pekerjaan baharu yang bentuknya kadang-kadang tidak pernah kita jangka. Yang penting kita sentiasa bersedia menghadapi perubahan itu dan bersedia juga untuk berubah.

Tetapi kepada kawan rakan di dunia politik, saya rasa, kita tidaklah perlu bimbang sangat dengan segala bentuk kemajuan itu. Kata seorang kenalan, sehebat mana pun teknologi robotik, ia tidak akan dapat mengambil alih kerja ahli politik.

Sebabnya? Carilah sendiri. #dush*Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!