Calon 'underdog' mampu beri saingan tapi...

Prof Dr Sivamurugan Pandian & Prof Dr Awang Azman Awang Pawi
Prof Dr Sivamurugan Pandian & Prof Dr Awang Azman Awang Pawi
A
A
A

SHAH ALAM - Calon kurang dikenali atau 'underdog' dijangka mampu memberi saingan kepada parti-parti lain yang bertanding dalam PRK Dun Semenyih pada 2 Mac depan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, namun begitu calon berkenaan perlu berdepan dengan beberapa kekangan seperti aspek tenaga, jentera, dana dan beberapa perkara lain dalam usaha meraih sokongan rakyat terhadap mereka menjelang hari pengundian nanti.

Beliau berkata, perkara ini berbeza dengan calon yang mewakili parti politik memandangkan pihak berkenaan sememangnya sudah mempunyai kemampuan yang cukup khususnya dalam aspek logistik.

"Calon 'underdog' ini mampu untuk meraih sokongan dan bersaing dengan calon lain namun disebabkan kekangan tertentu, ia akan beri sedikit kekurangan kepada mereka.

"Walaupun dalam PRU kita pernah lihat calon Bebas menang namun dalam konteks Semenyih dan berdasarkan perkembangan politik semasa, saya pasti PH dan BN akan memastikan kemenangan mereka di kerusi tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN:

Adun Semenyih meninggal dunia

Uncle Kentang umum bertanding PRK Semenyih

Artikel Berkaitan:

PRK Dun Semenyih bakal berlangsung pada 2 Mac ini setelah wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Susulan itu, difahamkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bakal mengetengahkan calon muda mereka iaitu Nik Aziz Afiq Abdul untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Malah, aktivis masyarkat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang turut menyatakan hasrat untuk bertanding bagi kepentingan masyarakat di Dun tersebut.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, calon 'underdog' mampu meraih sokongan pada PRK Dun Semenyih namun perkara itu juga turut bergantung kepada kadar peratusan yang akan keluar mengundi pada kali ini.

"Saya lihat pertarungan sebenar di Semenyih adalah antara PH dan BN namun calon PSM dan Uncle Kentang mampu beri persaingan berdasarkan kepada sumbangan mereka kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, populariti yang dimiliki oleh calon 'underdog' seperti Chee Heng tidak menjamin sokongan pengundi di Dun berkenaan terhadap beliau.

Menurut Awang Azman, Chee Heng mungkin lebih dikenali di media sosial namun perkhidmatan beliau di Dun berkenaan mungkin masih belum diketahui oleh sebilangan pengundi setempat.

"Kalau dia memiliki populariti di media sosial, namun di kawasan setempat pengundi tak kenal, tak boleh juga.

"Jadi populariti di media sosial tak mencerminkan populariti di kawasan pengundi sebenar," katanya.

Tambah beliau, setiap pihak boleh bertanding dalam PRK Dun Semenyih berdasarkan kemampuan dan ideologi masing-masing bagi menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

"Kita kena beri rakyat kepelbagaian dalam membuat pilihan.

"Walaupun ada calon 'underdog' namun kita semua kena raikan demi menyuburkan demokrasi di negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!