Covid-19: JPNJ, Pasar Awam dan Medan Selera Larkin ditutup seminggu

Notis penutupan JPNJ
Notis penutupan JPNJ
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dan Pasar Awam serta Medan Selera Larkin di sini ditutup seminggu bermula hari ini berikutan dikesan terdapat kes positif Covid-19 di sekitar premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Aman Rabu berkata, langkah penutupan itu dibuat bagi memastikan tindakan pencegahan dan pengawalan dapat dilakukan dalam kadar segera.

"Berdasarkan ujian saringan dilakukan, didapati seorang kakitangan JPN dan seorang pekerja di Pasar Awam Larkin didapati positif Covid-19.

"Sehubungan itu, arahan penutupan selama seminggu dibuat setelah pegawai Jabatan Kesihatan melakukan penilaian di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan notis yang ditampal di kedua-dua premis terbabit, arahan penutupan itu dibuat di bawah Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Notis itu turut memaklumkan penutupan JPNJ bermula pada jam 11 pagi tadi manakala penutupan Pasar Awam dan Medan Selera Larkin bermula jam 5 petang tadi.

Kedua-kedua premis berkenaan akan dibenarkan untuk beroperasi semula pada 22 Disember ini.

Aman berkata, penutupan sementara operasi dua bangunan berkenaan bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan selain membolehkan individu lain terlibat menjalani saringan.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!