Kekayaan hasil rasuah tidak akan berkekalan

No Image Caption
A
A
A

SEORANG sahabat saya merupakan pemilik sebuah restoran kari kepala ikan terkenal di ibu kota Kuala Lumpur.

Dia merupakan seorang lelaki yang berbadan kurus dan menggunakan loghat dari utara yang pekat.

Perniagaan yang diusahakan sejak sekian lama itu kelihatan sangat maju dan dipenuhi ramai orang.

Suatu hari dia bercerita tentang sejarah hidupnya yang panjang. Dia bukan orang senang malah hanya tamat persekolahan sehingga Tingkatan Tiga sahaja.

Selepas menamatkan persekolahan, dia bekerja di kantin Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebagai pembantu.

Secara sembunyi-sembunyi, dia belajar menebar roti canai dengan salah seorang pekerja senior di kantin tersebut.

Katanya, rahsia membuat roti canai yang sedap mesti tambah air soda.

Bagaimanapun, selepas selepas beberapa tahun, dia berhenti dan membuat pelbagai pekerjaan termasuk pernah menjadi kelindan lori.

Artikel Berkaitan:

Untuk satu tempoh yang lama, dia berusaha mengumpul wang dan akhirnya membuka sebuah kedai makan.

Perniagaan yang dimulakan itu tidaklah mendapat sambutan menggalakkan pada peringkat awal.

Namun, selepas beberapa tahun, kedai itu mula dikenali dan popular dalam kalangan penggemar kari kepala ikan.

Dengan hasil titik peluh selama tiga tahun mengusahakan kedai itu, dia sudah mampu untuk hidup selesa bersama keluarga dan boleh dikatakan sudahpun bergelar sebagai seorang jutawan.

Tetapi melihat perwatakan sahabat saya ini, dia seorang yang sangat sederhana dan sangat merendah diri.

Ini adalah kisah seseorang yang bekerja keras sepanjang hidup dan akhirnya berjaya walaupun tidak mempunyai kelayakan dari segi pendidikan.

Beberapa tahun lalu, saya berkesempatan untuk mendengar perkongsian hidup seorang bekas majistret, Mohd Firdaus Ramlan yang dihukum penjara selama tiga tahun atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan dalam kejadian di Machang, Kelantan.

Dia didakwa mengambil rasuah bernilai RM3,000.

Menurut Mohd Firdaus, pada peringkat awal dia hanya meminta sekotak rokok sahaja tetapi lama-kelamaan perasaan tamak mula menguasai diri dan meminta wang sebanyak RM50 bagi membebaskan mereka yang terlibat dengan kesalahan jalan raya.

Kerjayanya musnah dalam sekelip mata malah dia turut kehilangan insan yang disayangi apabila seminggu sebelum keputusan di Mahkamah Tinggi, ibu bapa dan adiknya maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan van di Tapah.

Mohd Firdaus kini bergelar penceramah bebas di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan untuk berkongsi pengalaman hidupnya yang bergelumang dengan rasuah.

Berdasarkan kedua-dua kisah ini, boleh kita simpulkan bahawa kekayaan yang diperolehi dengan jalan mudah dan cara yang salah tidak akan bertahan lama dan sebaliknya membinasakan diri.

Berbanding dengan mencari rezeki yang halal dan diberkati, kekayaan yang diperolehi itu memberi manfaat kepada diri dan insan di sekeliling.

Malangnya, masih ada yang mengambil jalan mudah untuk menjadi kaya dengan mengambil rasuah.

Sehingga kini, kes-kes rasuah dilaporkan hampir setiap hari melibatkan penjawat awam.

Ada yang mengatakan, cara untuk mengatasi masalah ini boleh dilakukan dengan menaikkan gaji penjawat awam.

Tetapi sebenarnya setinggi mana pun gaji yang diberikan masalah rasuah tidak akan dapat diselesaikan selagi nafsu menguasai diri.

Keinginan untuk memiliki kekayaan yang banyak tidak akan pernah berhenti.

Justeru itu, kita amat berharap peperangan untuk melawan rasuah ini jangan dihentikan walau sesaat sekalipun.

Kita perlu tanam dalam diri semua rakyat Malaysia supaya benci rasuah dengan bersungguh-sungguh kerana kesan jenayah ini jauh lebih besar daripada apa yang kita sangkakan.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!