Belanjawan 2021 perlu digunakan sebaiknya
KEJAYAAN kerajaan dalam memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat menunjukkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini masih kekal dan mampu mentadbir.
Namun, perbezaan majoriti sebanyak tiga undi yang diperoleh menunjukkan kerajaan seharusnya berhati-hati dan mampu menepis persoalan legitimasi atau keabsahan politik.
Kegagalan pembangkang menumbangkan kerajaan semasa undian Belanjawan 2021 tidak akan terhenti kerana majoriti kerajaan masih lagi tipis.
Sewajarnya kerajaan menggunakan peluang kejayaan Belanjawan 2021 ini untuk meningkatkan sokongan dan juga mengubah persepsi yang banyak dimainkan pembangkang seolah-olah kerajaan tidak ada majoriti.
Untuk sesebuah negara berkembang maju, kestabilan politik amat penting terutama dalam menarik pelabur luar masuk kerana tiada dasar kerajaan yang akan dibatalkan.
Muhyiddin perlu segera mencari jalan untuk meningkatkan sokongan di samping kembali memastikan ekonomi negara berada di landasan yang betul.
Kejayaan Belanjawan 2021 memberi signal awal bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih diberi kepercayaan mentadbir negara.
Sewajarnya kepercayaan ini dibalas dengan langkah-langkah penambahbaikan yang segera dilakukan terutama akan meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19.
Langkah pertama adalah memastikan tuntutan pengeluaran one-off RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksana tanpa syarat.
Tindakan ini bukan sahaja dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terutama golongan B40 dan M40, malah ini akan mengukuhkan lagi sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Pendekatan populis ini wajar dibuat bukan untuk memenangkan modal politik sesetengah pihak tetapi langkah ini dapat menarik lebih banyak sokongan pengundi kepada PN pada PRU15 nanti.
Contohi kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, di mana ketika itu sokongan masih tinggi kerana pengundi melihat kerajaan prihatin terhadap masalah rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!