50 pek makanan selama 50 hari untuk frontliners HKL
KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) yang bakal menyambut Jubli Emas tahun depan melancarkan sambutan ulang tahun itu dengan meraikan petugas barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany berkata, usaha murni dengan peruntukan sekitar RM30,000 itu bermula akhir November lalu.
Menurutnya, sebanyak 50 pek makanan disediakan oleh briged dapur AnCasa Hotel Kuala Lumpur (hotel utama rangkaian hotel tempatan UDA iaitu AnCasa Hotels & Resorts) dihantar kepada petugas barisan hadapan di hospital itu selama 50 hari berturut-turut.
“Kita seharusnya mengiktiraf dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan. Kita bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti harian dengan selesa di rumah bersama keluarga sedangkan mereka berusaha keras mengorbankan keselamatan dan masa demi mengekang penularan kes Covid-19.
“Sempena ulang tahun UDA ke-50, kami percaya sambutan kali ini adalah masa sesuai meraikan ‘hero’ yang banyak menyumbang kepada negara dan rakyat Malaysia,” katanya ketika penyerahan pek makanan di pekarangan hospital pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid, Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti UDA, Shah Azam Khan Noor Mohammad dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Heric Corray.
Mohd Salem berkata, UDA sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada petugas barisan hadapan sejak bermulanya wabak itu Mac lalu.
Antara inisiatif yang dilaksanakan merangkumi sumbangan barangan dan kelengkapan hospital serta pek makanan ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Permai Johor, Hospital Besar Pulau Pinang, Hospital Rembau dan Hospital Kluang bernilai hingga RM190,000.
“UDA turut memberi pengurangan dan pengecualian sewa kepada semua penyewa di bawah kompleks beli-belah UDA Angsana dengan jumlah lebih RM18 juta.
“Kami yakin ini adalah masa untuk rakyat bersama-sama membantu petugas barisan hadapan membendung wabak Covid-19,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memuji sokongan orang ramai terhadap inisiatif tajaan pek makanan anjuran AnCasa Hotel Kuala Lumpur dan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat korporat untuk turut serta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!