Aspek keselamatan guna dron dalam pertanian diberi perhatian

MAFI melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama pihak Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) berhubung penggunaan dron dalam sektor pertanian. (Gambar hiasan)
MAFI melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama pihak Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) berhubung penggunaan dron dalam sektor pertanian. (Gambar hiasan)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil maklum berhubung kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perlunya mendapatkan kebenaran untuk penggunaan dron.

MAFI dalam satu kenyataan semalam berkata, walaupun pihaknya menggalakkan penggunaan dron secara meluas dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian bagi tujuan semburan baja dan racun, namun pemantauan kawasan yang dijangkiti penyakit termasuk pemetaan kawasan, aspek keselamatan dan pematuhan peraturan berkaitan penggunaan dron sentiasa diberi perhatian serius.

Menurutnya, MAFI juga telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama pihak Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) berhubung penggunaan dron dalam sektor pertanian.

"Pihak CAAM juga sedang merangka satu arahan (directive) khusus bagi sektor pertanian dengan kerjasama MAFI.

"Justeru, kita juga akan bekerjasama dengan CAAM dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kepatuhan operator dron sektor pertanian mengenai kepentingan pendaftaran dan tahap keselamatan penggunaan dron di negara ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, sebagai sebuah kementerian yang prihatin tentang kepentingan petani, MAFI akan berbincang dengan pihak CAAM supaya sebarang peraturan yang dikeluarkan tidak akan membebankan para petani terutama dari segi kos yang berkaitan agar prosedur dan proses permohonan serta tempoh kelulusan adalah lebih munasabah.

Selain itu katanya, pihak Jabatan Pertanian telah menyediakan draf prosedur operasi standard (SOP) Semburan Racun Perosak menggunakan Unmanned Aerial Vehicle/Dron untuk dibincangkan bersama CAAM.

"MAFI akan memastikan bahawa peraturan dan arahan khusus melalui kerjasama MAFI dan CAAM ini bukan sahaja menjamin keselamatan penggunaan dron oleh para petani, malah kepentingan dan kebajikan mereka juga terus terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!