Produk, teknologi dikomersial MOSTI lepasi sasaran: Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 386 produk, teknologi dan perkhidmatan berjaya dikomersialkan dengan nilai pendapatan RM402 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, angka tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan semasa Belanjawan 2016 iaitu 360 produk serta teknologi hasil kajian dan pembangunan (R&D) dibiayai kerajaan menjelang 2020.

"Saya berbangga mengumumkan bahawa MOSTI bukan sahaja berjaya melepasi sasaran ini, malah sehingga kini sebanyak 386 produk, teknologi dan perkhidmatan berjaya dikomersialkan," katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) sebentar tadi.

Majlis tersebut dilaksanakan menerusi dalam talian dan disiarkan menerusi laman Facebook MOSTI.

Menurutnya, Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2020 telah menyenaraikan Malaysia di kedudukan kedua paling inovatif selepas China yang terdiri daripada 37 buah negara berpendapatan sederhana tinggi.

"Negara berada di tangga ke-33 dalam keseluruhan ranking GII 2020 berbanding kedudukan ke-35 pada tahun 2019," katanya.

Beliau berkata, dari segi kualiti inovasi, output inovasi Malaysia setanding dengan negara ekonomi berpendapatan tinggi.

"Bagaimanapun, negara masih menunjukkan tahap kecekapan rendah kerana menghasilkan output inovasi yang kurang berbanding dengan tahap pelaburan inovasi atau input.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini berbeza dengan negara-negara ASEAN lain seperti Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam yang menunjukkan tahap kecekapan tinggi berbanding negara kita kerana mereka menghasilkan banyak output inovasi berbanding input," katanya.

Tambah Khairy, kerajaan amat memberi penekanan kepada return on investment (ROI) ke atas perbelanjaan di dalam R&D supaya lebih banyak 'demand driven' R&D dihasilkan dan diguna pakai oleh industri, seterusnya melonjakkan Malaysia ke kedudukan 20 teratas dalam GII menjelang 2030.

Menurutnya, pada masa sama, Gross Expenditure on R&D akan ditingkatkan daripada 1.04 peratus kepada 3.5 peratus.

"Business Expenditure on R&D ditingkatkan daripada 43.9 peratus kepada 70 peratus menjelang 2030 dan Penyelidikan Pembangunan Eksperimen ditingkatkan daripada 24.5 peratus kepada 50 peratus menjelang 2025," katanya.

Tambahnya, ekonomi yang berpaksikan inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, mempunyai daya tahan dan daya saing tinggi, seterusnya melonjakkan nama negara ke tahap disanjungi masyarakat global.

"Rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mahir menggunakan teknologi tetapi berkebolehan menjadi pencipta dan pemaju teknologi atau 'tech developer'," katanya.

Tahun 2020 merupakan tahun kelima pelaksanaan MCY sejak 2016 dan terakhir bagi fasa MCY 2.0, sebelum mengorak langkah ke fasa MCY 3.0 mulai tahun 2021.

Dalam fasa seterusnya, penekanan akan beralih kepada inisiatif pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke peringkat global.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!