MP Pasir Gudang pula tawar diri disuntik vaksin Covid-19
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menawarkan diri menjadi orang pertama dalam kawasan parlimen itu disuntik vaksin Covid-19 bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap suntikan vaksin tersebut.
Hassan menerusi Facebooknya turut meminta orang ramai memerangi pandemik Covid-19 agar semua mendapat semula kebebasan, kemerdekaan yang dikecapi sebelum dilanda pandemik itu.
"Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dengan sesungguhnya dan suci hati mengisytiharkan bahawa saya menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang untuk menerima vaksin menentang Covid-19.
"Tujuan saya membuat pengisytiharan ini memberi keyakinan kepada rakyat di Pasir Gudang, di Johor dan di seluruh Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan dalam program suntikan kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah selamat," katanya menerusi hantaran tersebut.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menawarkan diri menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai menyahut saranan ahli politik perlu menjadi golongan pertama disuntik vaksin itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar tawar diri jadi bahan uji vaksin Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!