Penganggur, mekanik didakwa bunuh pemasang khemah

Elias (dua dari kiri) dan Thiagarajan (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi pertuduhan membunuh seorang pemasang khemah.
Elias (dua dari kiri) dan Thiagarajan (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi pertuduhan membunuh seorang pemasang khemah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dan mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemasang khemah, tiga minggu lalu.

Penganggur, P Thiagarajan, 42, dan mekanik, Elias Zainal Abidin, 44, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama membunuh seorang lelaki, M Tushilen, 21, di hadapan Blok E, Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Taman Intan Baiduri, Kepong di sini antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, 25 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari tahun depan untuk laporan bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut ditetak

Artikel Berkaitan:

Thiagarajan yang memakai baju T hitam manakala Elias memakai baju T merah dibawa ke mahkamah pada jam 10.30 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis dan prosiding selesai 30 minit kemudian.

Pada 25 November lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki ditemui maut dipercayai ditetak di sebuah blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 8 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah.

Berdasarkan maklumat awal katanya, mangsa dipercayai pergi ke Blok E untuk membeli makanan.

Kemudian, didapati dua suspek menaiki motosikal, salah seorang daripadanya telah turun daripada motosikal dan menetak mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!