Gol Heung Min 'tidak sah': Klopp
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan gol penyamaan Tottenham Hotspurs jaringan penyerang Son Heung-Min pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi, sebagai ‘tidak sah’ kerana pemain berkenaan telah ofsaid terlebih dahulu.
Klopp berkata, biarpun berdasarkan kepada Video Pembantu Pengadil (VAR), gol berkenaan disahkan pengadil perlawanan, namun pihaknya percaya gol berkenaan sebagai tidak sah.
“Bagi saya, gol itu tidak sah, kerana ofsaid. Biarpun mereka katakan, mereka telah melihatnya sebanyak 20 kali, tetapi bila saya sendiri melihatnya, ia ternyata ofsaid.
“Bagaimanapun, tiada ada sesiapa untuk dipersalahkan dalam hal ini kerana cara terbaik untuk bertahan ketika berdepan Tottenham adalah untuk sentiasa memastikan kita mengawal bola setiap masa,” katanya.
Gol Heung Min pada minit ke-33 itu telah berjaya memadam gol pembukaan The Reds hasil jaringan Mohamed Salah pada minit ke-26.
Bagaimanapun, Liverpool tetap berjaya meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila penyerang Roberto Firmino menjaringkan gol pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan pasukan.
Kemenangan berkenaan sekali gus melonjakkan kembali skuad The Reds itu selaku pendahulu EPL dengan 28 mata hasil lapan kemenangan, empat seri dan tewas sekali daripada 13 perlawanan setakat ini.
Sementara itu Klopp menyifatkan kesebelasan Liverpool telah beraksi dengan baik biarpun berdepan dengan pasukan yang mahir melakukan serangan balas ke pintu gol lawan.
Bagaimanapun katanya, kesebeladan The Reds masih mampu menguasai sebahagian besar perlawanan hingga mampu mencatatkan kemenangan.
“Bagi saya, pemain telah beraksi dengan cukup baik. Ya, walaupun mereka berjaya menjaringkan gol, kita masih mampu menguasai perlawanan dan akhirnya meraih tiga mata yang cukup berharga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!