Penceramah bebas ditahan disyaki cabul lelaki
KOTA BHARU - Seorang penceramah bebas ditahan selepas didakwa mencabul seorang lelaki berumur 30 tahun di sini malam semalam.
Suspek yang juga guru agama itu ditahan di sebuah madrasah di Machang jam 3 petang semalam.
Menurut siasatan awal, kejadian tersebut berlaku pada jam 1.15 pagi di sebuah hotel di sini selepas suspek dan mangsa yang juga seorang ahli perniagaan itu dikatakan keluar makan bersama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa dipercayai berkenalan dengan suspek di sebuah pasar raya di negeri ini sebelum bersetuju untuk keluar makan dengan mangsa dua hari kemudiannya.
"Menurut mangsa, sebelum kejadian, suspek telah menghubunginya dan mengajak mangsa keluar minum bersama.
"Semasa berada di tempat kejadian, suspek didakwa bertindak mencium pipi dan melakukan perbuatan kelucahan yang melampau.
"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek membuat laporan polis sejurus kejadian dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital," katanya.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Mangsa ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu masih trauma dengan kejadian tersebut dan berharap pihak polis dapat melakukan siasatan terperinci.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!