Rugi RM9,000 ditipu penjual beg berjenama di Instagram

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penggemar barangan berjenama terkenal kerugian RM9,000 selepas tertipu dalam urusan pembelian sebuah beg jenama antarabangsa secara dalam talian pada Selasa.

Lelaki berusia 21 tahun dari Kampung Raja, Cameron Highlands itu tertarik dengan beg yang diiklankan melalui sebuah akaun Instagram selepas melayari laman sosial itu pada 6 November lalu.

Mangsa segera berurusan dengan pemilik akaun Instagram terbabit dan bersetuju untuk membeli beg yang ditawarkan pada harga RM9,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat pembayaran sebanyak dua kali dengan bayaran pertama berjumlah RM4,500 melalui sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki pada malam hari yang sama.

Menurutnya, bayaran kedua dibuat dalam jumlah sama pada 14 Disember lalu namun melalui akaun bank atas nama individu berbeza.

"Pada hari berikutnya, mangsa cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan nombor 'tracking' kiriman itu namun gagal kerana suspek menyekat mangsa daripada mengakses laman Instagram tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja, semalam.

"Kita percaya suspek mengiklankan barangan berjenama terkenal tidak wujud sebagai umpan untuk menipu mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pada masa sama, pihak polis turut mengesan dua lelaki pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!