Apa nama kerajaan Perak sekarang, soal ADUN pembangkang

Kar Hing ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 Di Sidang DUN Perak di sini hari ini.
Kar Hing ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 Di Sidang DUN Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Perubahan suasana politik di Perak yang memperlihatkan kerjasama di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang khususnya dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2021 menimbulkan persoalan mengenai status kerajaan negeri.

Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai) berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pasti mereka berdepan dengan kerajaan di bawah gabungan parti yang mana ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini, jelas Barisan Nasional (BN) berdepan dengan pembangkang namun dengan sokongan daripada PH dalam usul undi percaya pada Khamis memperlihatkan perubahan suasana di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kami faham suasana di dalam dewan sekarang berbeza, dulu lebih jelas kerajaan BN berlawan dengan pembangkang, selepas itu BN berlawan dengan Barisan Alternatif, kemudian BN lawan Pakatan Rakyat, selepas itu BN lawan PH.

"Tetapi saya ingin bertanya satu soalan, sekarang PH dengan siapa? Dengan BN, Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)? Apa nama kerajaan sekarang?

"Kalau ada lembaran politik yang baharu, mungkin sekarang BN Plus, PN Plus atau pun apa nama dia. Sekarang rakyat di bawah tengah runsing sebab lihat di Sabah, Gabungan Rakyat Sabah, kami pun agak keliru juga?" katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Perak 2021 di DUN Perak, hari ini.

Kar Hing menegaskan bahawa PH bersedia untuk mengadakan perbincangan atau dialog secara konsisten bagi perkara yang membawakan manfaat kepada rakyat Perak.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sokongan sebulat suara di dalam DUN Perak pada Khamis atas dasar ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad tidak meminta jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Belanjawan Perak 2021, Kar Hing mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan satu sistem khas bagi melaporkan keberkesanan pelaksanaan semua projek dan aktiviti setiap enam bulan.

Katanya, semua rancangan, projek, imbuhan dan peserta perlu disenaraikan bagi melihat perkembangan pelaksanaannya menerusi laman web.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!