Teknologi VSAT sedia internet di pedalaman

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menggunakan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) untuk menyediakan perkhidmatan internet di kawasan terpencil termasuk di pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan langkah kementerian yang menumpukan penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi menggunakan pelbagai teknologi.

Bagaimanapun, beliau mengakui penggunaan teknologi satelit itu bukanlah penyelesaian terbaik bagi jangka masa panjang dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar.

“Perkhidmatan jalur lebar yang disediakan melalui teknologi satelit mempunyai kelemahan termasuk kemampuan berdasarkan kapasiti yang terhad, kos operasi dan kos penyelenggaraan yang tinggi serta masalah kestabilan perkhidmatan sekiranya terdapat gangguan cuaca atau bekalan kuasa.

“Namun kementerian akan terus menilai dan mempertimbangkan teknologi satelit itu untuk kegunaan di kawasan yang tidak dapat dijangkau oleh rangkaian gentian optik dan teknologi 4G,” katanya pada Persidangan Dewan Negara pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Adrian Banie Lasimbang yang mahukan penjelasan berhubung teknologi terkini untuk memastikan capaian liputan 4G di kawasan terpencil atau titik buta di Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!